1,000 kopiah, 30 kurta untuk masyarakat Islam Kemboja

Sarah Fikri (kiri) menyerahkan sumbangan kopiah dan kurta kepada Mustapha Ahmad.
A
A

KAGUM dengan semangat dan kesungguhan Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Merican, seorang usahawan terpanggil untuk menyumbangkan 1,000 kopiah dan 300 helai kurta untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan di Kemboja.

Pengurus syarikat pemborong barangan haji dan umrah, Sarah Fikri Nasrun berkata, sumbangan yang diberikan itu adalah bagi menyokong usaha murni sukarelawan hebat itu.

"Kesungguhan yang ditunjukkan Mustapha Ahmad dalam membantu masyarakat Islam di luar negara itu membuatkan saya rakan-rakan tampil untuk memberikan sumbangan ini.

"Kita menyampaikan sumbangan 1,000 kopiah dan 300 kurta kepada beliau (Mustapha) untuk disumbangkan kepada imam dan pelajar sekolah agama di Kemboja," katanya.

Katanya lagi, semangat sukarelawan tinggi yang ditunjukkan Mustapha Merican terhadap penduduk Islam di Kemboja itu sejak lebih 20 tahun lalu diharap mampu memberi inspirasi kepada orang lain untuk turut serta.

"Malah, saya dan rakan-rakan lain sedia pertimbangkan untuk hulurkan lagi sumbangan pada masa akan datang.

"Ini kerana, bukan semua mempunyai kesungguhan dan semangat kental seperti beliau," katanya.

Sementara itu, Mustapha ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan yang diadakan di Masjid India, Kuala Lumpur itu mengakui terkejut dan terharu dengan pemberian besar berkenaan.

"Barangan seperti sejadah, telekung solat, kain pelikat, kopiah dan sebagainya merupakan antara peralatan yang akan dibawa setiap kali saya pergi ke Kemboja.

"Insyaallah sumbangan terbaharu ini akan diserahkan kepada orang Islam di Kemboja pada Februari depan," katanya.