Kes Covid-19 meningkat, Thailand bakal perketat langkah

Sejak negara itu mengisytiharkan perintah darurat bermula 26 Mac lepas, Prayuth berkata bilangan kes baharu terus meningkat.
Sejak negara itu mengisytiharkan perintah darurat bermula 26 Mac lepas, Prayuth berkata bilangan kes baharu terus meningkat.
A
A
A

BANGKOK- Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan o-cha membayangkan langkah yang lebih ketat akan dilaksanakan untuk memerangi penularan koronavirus (Covid-19) di negara itu selepas jumlah kes positif meningkat kepada 1,651 hari ini dengan jumlah kematian 10 setakat ini.

Sejak negara itu mengisytiharkan perintah darurat bermula 26 Mac lepas, Prayuth berkata bilangan kes baharu terus meningkat.

Sehingga 1 tengah hari ini, 127 kes baharu dan satu kematian dilaporkan.

“Jika tiada pengurangan, langkah yang lebih ketat mungkin akan dilaksanakan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Thailand mengisytiharkan perintah darurat yang berkuat kuasa tengah malam 26 Mac sehingga 30 April untuk mengekang pandemik Covid-19 di negara itu. Bagaimanapun tiada perintah berkurung atau larangan perjalanan dikenakan.

Sementara itu, Prayuth berkata, Kementerian Pengangkutan akan mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan pergerakan dan aktiviti awam.

“Masih ramai yang melakukan perjalanan menggunakan pengangkutan awam di Bangkok. Kami mungkin mempertimbangkan mengurangkan kekerapan pengangkutan awam termasuk bas dan kereta api. Jika itu tidak berjaya, jadi kami mungkin mempertimbangkan penggantungan sementara perkhidmatan tersebut,” katanya.

Kerajaan merancang mengehadkan perjalanan orang awam kepada 90 peratus dalam usaha melandaikan graf jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi bagi Covid-19 Thailand (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin mengesahkan seorang lelaki berusia 48 tahun dari wilayah Maha Sarakham meninggal dunia pada 5 pagi semalam akibat Covid-19. Dia mempunyai sejarah penyakit diabetes dan kanser.

Daripada keseluruhan 1,651 kes setakat ini, 1,299 pesakit masih menjalani rawatan di hospital, termasuk 22 dalam keadaan kritikal manakala 342 telah discaj.

Sejumlah 61 daripada 77 wilayah di negara ini telah melaporkan kes Covid-19.

Memandangkan lebih banyak kes direkodkan di luar Bangkok, gabenor wilayah mengambil langkah lebih ketat termasuk menutup destinasi pelancongan, pantai dan pusat hiburan, untuk membendung penyebaran virus itu.-Bernama