Sistem penggiliran nombor plat kenderaan ditangguh

Pelaksanaan sistem penggiliran nombor pendaftaran kenderaan di atas jalan raya yang sepatutnya berkuat kuasa esok ditangguhkan sementara untuk kajian lebih terperinci. Gambar kecil: Roslee Chik
Pelaksanaan sistem penggiliran nombor pendaftaran kenderaan di atas jalan raya yang sepatutnya berkuat kuasa esok ditangguhkan sementara untuk kajian lebih terperinci. Gambar kecil: Roslee Chik
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu terpaksa menangguhkan sementara pelaksanaan sistem penggiliran nombor pendaftaran kenderaan di atas jalan raya yang sepatutnya berkuat kuasa esok untuk kajian lebih terperinci.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, keputusan menangguhkan sistem itu dibuat petang tadi kerana pengurusan tertinggi di Bukit Aman mahu membuat kajian lebih lanjut dan penyelarasan.

Menurut beliau, sebelum ini pihaknya membuat keputusan untuk mengambil langkah berkenaan bagi mengurangkan pergerakan kenderaan di negeri ini.

"Selain itu, pelaksanaan itu turut diambil bagi memperketatkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang bermula esok kerana dijangka dapat mengurangkan 50 peratus jumlah kenderaan di atas jalan raya termasuk motosikal.

"Diakui selepas pelaksanaan sistem penggiliran nombor pendaftaran kenderaan ini diuar-uarkan, pihak kami menerima banyak maklum balas yang positif daripada orang awam meskipun ada juga segelintir memberi komen yang tidak menyenangkan.

"Tetapi atas permintaan pengurusan tertinggi di Bukit Aman untuk melihat semula keberkesanan pelaksanaan tersebut. Justeru, saya mengesahkan pelaksanaan penggiliran nombor plat kenderaan pagi esok terpaksa ditangguhkan sementara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini, polis Terengganu mengumumkan akan melaksanakan sistem penggiliran nombor pendaftaran kenderaan di atas jalan raya bagi mengurangkan pergerakan kenderaan di negeri ini yang bermula esok.

ARTIKEL BERKAITAN: Keluar ikut giliran nombor plat di Terengganu bermula esok

Artikel Berkaitan: