Zikir, pelihara wuduk dan solat awal amalan wanita 109 tahun

Siti Mariam (kanan) ditemani anaknya, Saudah sewaktu membaca al-Quran ketika ditemui Bernama di Kampung Pasir Golok Ketereh hari ini. - Foto Bernama
Siti Mariam (kanan) ditemani anaknya, Saudah sewaktu membaca al-Quran ketika ditemui Bernama di Kampung Pasir Golok Ketereh hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Sentiasa mengamalkan zikir, memelihara wuduk, membaca al-Quran dan menunaikan solat di awal waktu adalah antara amalan seorang wanita warga emas, Siti Mariam Jusoh yang dilihat masih sihat walaupun usianya mencecah 109 tahun.

Siti Mariam yang menetap di Kampung Pasir Golok, Ketereh, berkata, dia bersyukur kerana dikurniakan ALLAH usia yang panjang dan masih boleh berjalan tetapi agak sukar kerana fizikalnya yang bongkok.

“Petua umur panjang yang menjadi amalan sejak muda ialah sentiasa berzikir sepanjang masa, duduk dalam wuduk dan terus solat apabila masuk waktu tanpa berlengah.

"Sebelum azan saya sudah berada di madrasah untuk solat jemaah lima waktu tetapi sekarang hanya mampu solat di rumah kerana tidak larat untuk berjalan.

"Selepas solat, saya amalkan 1,000 zikir dan meratib, duduk di rumah selalu baca al-Quran, hafal 30 juzuk masa muda tetapi buat masa ini hanya ingat surah Yasin," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Kisah Siti Mariam tular di laman Facebook semalam apabila dia mendapat perhatian Ketua Balai Polis Ketereh, Subinspektor Mat Shaari Mahmud yang teruja bertemu warga emas tertua di Ketereh berusia lebih 100 tahun dan masih sihat semasa menjalankan rondaan di kampung itu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak koronavirus (Covid-19).

Menariknya, bukan hanya Siti Mariam yang berusia emas dan sihat tanpa sebarang penyakit, anak sulungnya Lijah Jusoh, 75, tinggal di kampung bersebelahan dan anak kedua atau bongsunya, Saudah Jusoh, 72, yang tinggal bersamanya turut mempunyai kesihatan yang baik.

Artikel Berkaitan:

Siti Mariam Jusoh menunjukkan kad pengenalannya ketika ditemui Bernama di Kampung Pasir Golok Ketereh hari ini. - Foto Bernama
Siti Mariam Jusoh menunjukkan kad pengenalannya ketika ditemui Bernama di Kampung Pasir Golok Ketereh hari ini. - Foto Bernama

Siti Mariam berkata, sekiranya tidak sihat, dia hanya mengalami demam biasa sahaja, cuma sekarang pendengaran dan penglihatannya sedikit terjejas.

"Orang zaman dulu suka makan ikan singgang, goreng kunyit, jarang benar makan ayam. Kalau ada ulam, kami makan cicah budu dan ikan rebus atau bakar tawar.

"Tidur pun awal jam 9 malam mulai mengantuk tetapi pukul 2 pagi sudah bangun buat kerja dapur sehinggalah masuk waktu subuh, manakala pagi hari dan petang, sapu sampah sekeliling rumah," katanya.

Menurutnya, ibunya yang mempunyai lapan cucu dan 28 cicit itu dahulu mengerjakan tanah padi dan getah semasa tinggal di Setiu, Terengganu, namun apabila arwah bapanya meninggal dunia lebih 20 tahun lalu, Siti Mariam pulang ke Kampung Pasir Golok dan diberikan rumah PPRT.

Sementara itu, Mat Shaari berkata, pihaknya sentiasa menjalankan rondaan di 66 kampung di kawasan Ketereh sejak PKP dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

"Kami mendapati masih ramai warga emas berusia hampir 100 tahun yang ada di kampung-kampung di Ketereh dan kami mendekati mereka yang sangat mesra dengan polis," katanya. - Bernama