Sidang Parlimen sepatutnya diawalkan: MP DAP

Ahli Parlimen Kulai dari DAP, Teo Nie Ching.
Ahli Parlimen Kulai dari DAP, Teo Nie Ching.
A
A
A

SHAH ALAM - Sidang Parlimen sepatutnya diawalkan daripada tarikh yang dijadualkan iaitu pada 18 Mei ini bagi membincangkan mengenai kesan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ahli Parlimen Kulai dari DAP, Teo Nie Ching berkata, ini kerana, Malaysia perlu mempelajari dan mengambil pengajaran daripada Korea Selatan, China, United Kingdom dan Itali dalam menangani wabak itu.

Menurutnya, semua negara terbabit telah memanggil satu Persidangan Khas Parlimen untuk merangka satu strategi bagi meratakan lengkungan penyebaran Covid-19 di negara masing-masing.

"Persidangan Khas Parlimen itu juga bagi merangka strategi bagi meratakan lengkungan kemelesetan ekonomi yang disebabkan oleh wabak tersebut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Atas alasan itu, Nie Ching yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Pelajaran menyarankan Sidang Parlimen yang dijadualkan pada 18 Mei itu dipercepatkan tarikhnya.

Sementara itu, beberapa Ahli Parlimen Pembangkang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) gagal untuk dihubungi bagi mendapatkan respon mereka mengenai pengumuman tarikh Sidang Parlimen itu.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Sidang khas Parlimen wajar: Aziz Bari

Terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan yang mengumumkan tarikh tersebut, berkata, tumpuan utama kerajaan kini adalah memastikan keselamatan rakyat termasuk anggota parlimen terjamin.

"Oleh itu semua pihak perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas yang bertungkus-lumus memerangi wabak ini dengan mematuhi segala arahan pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel Berkaitan: