X

Kindly register in order to view this article
!

MEDAC sedia inisiatif bernilai RM1.099 bilion bantu usahawan, koperasi

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar - Foto Sumber Internet
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyediakan inisiatif bernilai RM1.099 bilion yang dapat memberi manfaat kepada 14,628 koperasi berdaftar di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan prihatin dalam membantu usahawan dan koperasi dalam menangani kelembapan operasi perniagaan berikutan perlanjutan tempoh kawalan pergerakan (PKP).

Ujarnya, inisiatif yang dilakukan itu termasuk penangguhan bayaran balik Tabung Modal Pusingan yang diuruskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk tempoh enam bulan yang bernilai sebanyak RM99 juta.

"Koperasi akan diberi penangguhan daripada mendeposit keuntungan bagi tahun kewangan 2019 ke Akaun Deposit Koperasi (ADK). Penangguhan ini bakal memberi manfaat kepada 14,000 koperasi dengan jumlah tunai terlibat dianggarkan sebanyak RM600 juta.

"Koperasi diberikan pengurangan caruman ke Kumpulan Wang Rizab Statutori (KWRS) kepada lapan peratus berbanding 15 peratus kadar sedia ada daripada untung bersih koperasi untuk tempoh kewangan mulai 31 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020.

"Dianggarkan sebanyak RM333 juta lebihan likuiditi dalam gerakan koperasi dapat dimanfaatkan untuk memulihkan perniagaan yang terjejas," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, koperasi boleh mendapat pembiayaan dalam bentuk soft-loan yang disediakan di bawah Tabung Modal Pusingan (TMP-JPK) sehingga RM50,000 tanpa cagaran dengan grace period selama enam bulan untuk tempoh sepanjang wabak.

"Proses dan tempoh kelulusan akan dipermudah dan dipercepatkan. Bagi tujuan ini, sebanyak RM15 juta disediakan," ujar beliau.

Selain itu, beliau berkata, koperasi juga disediakan kemudahan pembiayaan melalui Dana Likuiditi Pusat (CLF) untuk tempoh jangka pendek selama satu tahun dengan jumlah pembiayaan sehingga RM500,000.

"Jumlah peruntukan terlibat adalah RM50 juta dengan sasaran 100 buah koperasi yang benar-benar memerlukan suntikan kecairan jangka pendek bagi meneruskan operasi perniagaan koperasi di sepanjang tempoh PKP ini," katanya.

Tambah beliau, geran bantuan kecemasan turut disediakan khusus untuk koperasi yang terjejas teruk dengan pandemik koronavirus (Covid-19) dengan jumlah maksimum pembiayaan sehingga RM30,000 bagi setiap koperasi.

Jumlah peruntukan sebanyak RM1 juta telah disediakan.

Dalam pada itu, Program Jualan Harga Patut Koperasi dengan peruntukan RM1 juta akan dilaksanakan dengan serampang dua mata bagi membantu anggota dan masyarakat lain mendapatkan beberapa barangan keperluan harian pada harga berpatutan di samping membantu memulihkan perniagaan koperasi.

"Program ini melibatkan 200 koperasi seluruh negara. Program ini juga dijangka dapat meningkatkan perniagaan sebanyak RM30,000 bagi setiap koperasi," jelas beliau.

Sehubungan itu, Wan Junaidi berkata, sebagai kerajaan yang prihatin, pelaksanaan inisiatif baharu itu diharap dapat meningkatkan kapasiti 14,628 koperasi untuk menggerakkan semula aktiviti perniagaan koperasi dan menyumbang dengan efektif kepada pembangunan ekonomi negara.

"Insentif untuk meningkatkan aliran tunai membolehkan koperasi terus aktif dan menjaga kebajikan seramai 6.05 juta anggota koperasi.

"Diharapkan melalui inisiatif-inisiatif baharu ini, ia akan dapat membantu dan mengurangkan bebanan koperasi sepanjang tempoh PKP ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus