X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga laluan bas CAT dihentikan bermula esok

Tiga laluan bas CAT dihentikan bermula esok hingga 14 April ini. (Kredit Facebook Rapid Penang).
A
A

GEORGETOWN - Perkhidmatan bas percuma tajaan kerajaan Pulau Pinang, CAT (Congestion Alleviation Transport) di tiga laluan akan dihentikan bermula esok susulan pelaksanaan fasa dua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pemberhentian perkhidmatan bas tersebut membabitkan laluan CAT 1A, CAT 1B dan 200 yang meliputi laluan kawasan Air Itam dan Farlim.

Menurutnya, bagi laluan lain, ia masih dikekalkan seperti diumumkan Rapid Penang Sdn Bhd (Rapid Penang) pada 24 Mac lalu.

"Sebagai alternatif, penduduk di kawasan berkaitan boleh menaiki bas laluan 201 dan 202 yang akan beroperasi semula dengan frekuensi perjalanan setiap 30 minit untuk perjalanan secara terus ke Komtar dan Weld Quay (jeti).

"Bagi laluan BEST FIZ, hanya laluan A dan C sahaja akan terus beroperasi dengan sebuah bas setiap laluan.

"Bagaimanapun, BEST FIZ B dan perkhidmatan bas perantara (feeder) tidak akan beroperasi bermula 2 April ini," katanya dalam satu kenyataan tadi.

Tambahnya, untuk mengetahui lokasi bas dan maklumat berkaitan, orang ramai boleh memuat turun aplikasi Rapid Penang Journey Planner daripada GooglePlay atau hubungi Talian Hotline Rapid Penang di talian 04-2558000.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, semua pasar awam dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah hari, manakala pasar borong pula akan beroperasi bermula jam 4 pagi hingga 10 pagi.

Menurutnya, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri tadi.

"Ia susulan fasa dua PKP yang dilanjutkan bermula 1 hingga 14 April ini.

"Oleh itu, saya memohon kerjasama semua rakyat Pulau Pinang untuk terus bersama-sama kerajaan negeri membasmi penularan wabak Covid-19 di negeri ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!