Lelaki ditahan ketika ratakan Hutan Simpan Bukit Perangin

Jentera pengorek yang dirampas oleh JPNK di kawasan Hutan Simpan Bukit Perangin, Kubang Pasu semalam. - Foto Ihsan JPNK
Jentera pengorek yang dirampas oleh JPNK di kawasan Hutan Simpan Bukit Perangin, Kubang Pasu semalam. - Foto Ihsan JPNK
A
A
A

KUBANG PASU - Seorang lelaki sanggup mengambil risiko menerima upah membersihkan dan meratakan hutan di kompartmen 12 di Hutan Simpan Bukit Perangin sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Roslan Rani berkata, pihaknya menyerbu kawasan tersebut dan menahan lelaki berusia 29 tahun itu selepas menerima aduan awam kira-kira jam 11 pagi semalam.

Menurutnya, lelaki itu dipercayai menerima upah untuk melakukan perkara tersebut sejak dua minggu lalu dan ditahan ketika sedang leka meratakan tanah di kawasan tersebut.

"Berdasarkan siasatan awal, modus operandi lelaki tersebut adalah menebang pokok dan membakar hutan terlebih dahulu sebelum meratakan dan membersihkan kawasan hutan di kompartmen 12.

"Semasa ditahan, lelaki itu sedang mengendali jentera pengorek dan dia mengakui menerima upah daripada seorang lelaki bagi tujuan aktiviti pertanian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rani (tengah) turut turun padang dan meninjau keadaan kawasan Hutan Simpan Bukit Perangin yang dibakar dan diratakan bagi tujuan pertanian. - Foto Ihsan JPNK
Rani (tengah) turut turun padang dan meninjau keadaan kawasan Hutan Simpan Bukit Perangin yang dibakar dan diratakan bagi tujuan pertanian. - Foto Ihsan JPNK

Roslan berkata, tindakan lelaki berkenaan menyebabkan kira-kira 10 hektar hutan musnah dan antara spesies pokok hutan yang ditebang ialah meranti, tembaga, sesenduk, kelat dan nilai kerugian pula dianggarkan lebih kurang RM200,000.

Katanya, lelaki tersebut juga disyaki meratakan kompartmen 11 di hutan yang sama dan pihaknya mendapati kawasan itu sudah ditanam dengan anak pokok durian dan getah.

Artikel Berkaitan:

"JPNK juga akan mengesan individu yang telah memberikan upah kepada lelaki terbabit bagi membersihkan hutan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, lelaki yang ditahan di hutan terbabit telah bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut manakala jentera pengorek dan sebuah pam air yang digunakan bagi tujuan berkenaan pula dirampas.

Pam air yang dirampas oleh JPNK di kawasan Hutan Simpan Bukit Perangin, Kubang Pasu semalam. - Foto Ihsan JPNK
Pam air yang dirampas oleh JPNK di kawasan Hutan Simpan Bukit Perangin, Kubang Pasu semalam. - Foto Ihsan JPNK

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 81(1)(b) kerana menebang dan membakar hutan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 81(1)(g) kerana menceroboh Hutan Simpan Kekal dan Seksyen 47(1) kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran yang jika didapati bersalah boleh denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.