'Rasa lebih dekat dengan ALLAH', kata bekas pesakit Covid-19

Adnan memuat naik gambar di Instagram ketika menjalani kuarantin Covid-19 pada hari pertama di hospital. -Foto: Instagram adnanfaisalofficial
Adnan memuat naik gambar di Instagram ketika menjalani kuarantin Covid-19 pada hari pertama di hospital. -Foto: Instagram adnanfaisalofficial
A
A
A

SHAH ALAM - Saya sebenarnya rindu saat-saat ketika berada di wad di mana rasa sangat dekat dengan ALLAH, kata bekas pesakit wabak koronavirus (Covid-19), Adnan Faisal yang sudah sembuh dan discaj dari hospital.

Adnan berkata, walaupun berada di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama lapan hari, banyak perkara-perkara positif yang dipelajari.

Menurutnya, selepas beberapa hari di hospital, dia ditempatkan di wad lebih besar susulan jumlah pesakit positif Covid-19 yang dimasukkan semakin bertambah.

Katanya, wad itu boleh memuatkan sehingga 30 pesakit pada satu-satu masa dan dia ditempatkan bersama pesakit dari kluster tabligh.

"Walaupun dalam keadaan sakit, kami masih dapat bersolat jemaah bersama dalam jarak dibenarkan.

"Saya jadi rindu dengan keadaan di wad pada masa itu di mana masing-masing mengharapkan ALLAH untuk sembuh..Rasa lebih dekat," katanya ketika ditemubual secara langsung di Sinar Live semalam.

Adnan berkongsi pengalamannya menjalani kuarantin di hospital menerusi Sinar Live semalam.49
Adnan berkongsi pengalamannya menjalani kuarantin di hospital menerusi Sinar Live semalam.49

Adnan dimasukkan ke wad pada 18 Mac lalu selepas disahkan positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Dia sebelum itu menjalani ujian pengesanan Covid-19 selepas dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan seorang sepupu yang juga positif wabak itu selepas sama-sama menghadiri kenduri akad nikah saudara mereka.

Kongsi Adnan dalam tempoh berada di wad juga, dia sendiri banyak bermuhasabah memikirkan kembali apa yang telah dilakukan dan kenapa ujian itu diberikan ALLAH kepadanya.

"Sebagai orang Islam, saya anggap apa yang berlaku ini sebagai peringatan daripada ALLAH untuk kita muhasabah dan kembali kepada-Nya.

"Selain berdoa dan solat, saya juga mengamalkan penjagaan kesihatan untuk terus kekal sihat dan positif dengan bersenam, makan vitamin C serta minum air lemon yang disediakan keluarga sepanjang berada di wad,"katanya yang masih perlu kuarantin di rumah selepas discaj dan menjalani dua kali ujian swab.

Menurutnya, dia bagaimanapun bersyukur kerana ketika ditahan di wad dia sebenarnya sudah semakin pulih.

Katanya, semua gejala seperti demam panas, pening kepala, sakit perut, sesak nafas dialami lebih awal ketika dia membuat kuarantin sendiri di rumah.

"Jadi bila masuk hospital keadaan semakin baik dan doktor pun tidak berikan ubat kerana saya tiada simptom...Hanya pemeriksaan rutin cek suhu badan dan tekanan darah selain menunggu keputusan laporan kesihatan saya negatif.

"Disebabkan itu, fikiran saya lebih tenang dan positif, cuma lebih bimbangkan keadaan ibu yang turut ditahan wad kerana positif Covid-19 serta isteri yang sedang hamil lima bulan.

"Saya sedih juga tak dapat jumpa ibu. Hanya boleh bercakap melalui telefon. tapi tak boleh lihat keadaannya. Begitu juga dengan isteri tak dapat jumpa tapi syukur dia negatif Covid-19," katanya.

Dalam perkembangan sama, Adnan turut menasihatkan rakyat Malaysia agar menerima arahan dikeluarkan oleh polis, Kementerian Kesihatan serta badan-badan berautoriti secara positif sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Jangan buat perkara yang bertentangan dan sentiasa tempatkan diri kita di tempat pesakit Covid-19 yang terpaksa berjauhan dengan keluarga, apa perasaan mereka itu kita kena fikirkan," katanya.