X

Kindly register in order to view this article
!

Ini bukan masanya menteri lakukan gimik politik, kata AMK

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika meninjau operasi sanitasi awam yang dijalankan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Pasar Awam Jalan Othman semalam. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini mengkritik tindakan ahli politik khususnya menteri agar tidak mencari publisiti murahan sehingga mengganggu tugas pihak berkuasa mengekang penyebaran koronavirus (Covid-19).

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, disebabkan beberapa protokol yang terpaksa diikuti, pegawai-pegawai yang sepatutnya bertugas terpaksa digunakan bagi tujuan mengiring dan membantu menteri membuat aksi gimiknya.

"Dalam kesibukan pihak berkuasa menjalankan tugas bagi memastikan rakyat patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebarang perbuatan gimik politik adalah tidak wajar sama sekali dilakukan oleh mana-mana ahli politik.

"Selain itu, menteri yang tidak terlibat sebagai barisan hadapan juga akan menyebabkan pembaziran sumber dalam keadaan hospital sekarang ini kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE).

"Malahan, ada petugas yang terpaksa menggunakan plastik sampah sebagai bahan gantian untuk PPE bagi menjalankan tugas mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin turun padang meninjau operasi nyah kuman di kawasan persekitaran Bukit Damansara melibatkan Jalan Setia Kasih dan Jalan Setia Bakti.

Mengulas lanjut, Akmal berpendapat menteri perlu lebih peka dengan keadaan semasa dan tidak sewenang-wenangnya membuat program atau gimik yang boleh mengganggu perjalanan kerja pihak berkuasa.

"Rakyat juga kini lebih memerlukan bantuan kewangan dan makanan daripada kerajaan sepanjang tempoh PKP ini berbanding berjumpa dengan menteri-menteri," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus