DBE Gurney Resources Bhd sumbang 7 tan sayur

Mohd Shukri (kiri) bersama Syamsul Hazeman (tengah) mengangihkan bekalan sayuran di luar Pejabat MPM semalam.
Mohd Shukri (kiri) bersama Syamsul Hazeman (tengah) mengangihkan bekalan sayuran di luar Pejabat MPM semalam.
A
A
A

MANJUNG - DBE Gurney Resources Bhd, sebuah syarikat perumahan dari Manjung menyumbang tujuh tan sayuran pelbagai jenis kepada petugas barisan hadapan di daerah itu yang bertungkus-lumus memerangi wabak koronavirus (Covid-19).

Bekalan sayur-sayuran segar bernilai hampir RM30,000 itu diperolehi dari Cameron Highlands dan diedarkan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Perancang Projek, Mohd Shukri Bongsu berkata, MPM menerusi Jabatan Komuniti dan Pembangunan Sosial membantu mengkoordinasi cara penyampaian sumbangan secara berperingkat bagi mengelak sebarang perhimpunan ramai.

“Pengagihan sayuran antaranya timun, sawi, kailan, salad, kubis and bak choy ini dilakukan secara berjadual mengikut kumpulan kecil.

"Ini selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelak perjumpaan besar-besaran,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, syarikat pembangunan perumahan mampu milik itu turut merancang mengagihkan sumbangan sama ke daerah-daerah lain seawalnya, minggu hadapan.

"Fokus kami adalah untuk mengurangkan bebanan kewangan sebanyak yang mungkin dalam tempoh getir ini,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertuanya, Syamsul Hazeman Md Salleh merakamkan penghargaan atas inisiatif dilakukan syarikat itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia secara tidak langsung memotivasikan pasukan keselamatan dan kakitangan hospital untuk meneruskan usaha memastikan keselamatan rakyat sehingga tempoh PKP berakhir 14 April depan.

"Sumbangan sayuran ini juga diedarkan kepada rumah anak yatim, pusat jagaan orang tua, sekolah tahfiz dan keluarga kurang berkemampuan di sekitar daerah Manjung yang turut terkesan dengan penularan wabak ini," katanya.