Pasang lebih banyak CCTV di Johor

Mohd Khalil (tengah) bersama pegawai polis dan peserta yang terlibat dalam program berkenaan, sebentar tadi.
Mohd Khalil (tengah) bersama pegawai polis dan peserta yang terlibat dalam program berkenaan, sebentar tadi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Inisiatif pemasangan lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di negeri ini akan menjadi cadangan dalam memperkasa agenda digital kepolisan Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, melihat kepada kemajuan pesat yang berlaku di negeri ini, bantuan teknologi sememangnya amat diperlukan dalam usaha penguatkuasaan undang-undang.

Menurutnya, ia juga bagi membantu pemantauan dengan lebih efisyen memandangkan aktiviti rondaan oleh anggota tidak boleh merangkumi keseluruhan kawasan yang ada.

"Pemasangan CCTV ini akan membantu pihak polis dalam usaha meningkatkan keselamatan masyarakat dan kawalan kawasan-kawasan tertentu.

"Bila ada perkembangan kawasan ruang lingkup di Johor semakin luas, sumber manusia untuk ronda tak dapat dijalankan dengan 100 peratus, jadi dalam situasi apa pun kita memerlukan bantuan teknologi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Program Aspirasi Keselamatan Untuk Kesejahteraan Awam, di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata, perkara tersebut akan diusulkan dalam perbincangan bersama kerajaan negeri dalam tempoh yang terdekat ini.

"Saya juga dengan kerajaan negeri memang ada berbincang mengenai perkara ini, jadi saya harap perbincangan ini boleh diteruskan untuk kita naik taraf tahap keselamatan di Johor.

Artikel Berkaitan:

"Kita dah bincang sebelum PRU lepas, akan ada perubahan sekejap jadi kita akan kembali semula dengan cadangan ini, dalam masa terdekat," katanya.

Tambahnya, sekiranya perkara itu diberi perhatian pemasangan CCTV berkenaan akan dilakukan secara berperingkat bermula dengan kawasan tumpuan sebelum dibuat secara menyeluruh ke seluruh negeri.