Akta sewa beli, pajak gadai Islam

A
A
A

KERAJAAN Perikatan Nasional diharap dapat mengadakan undang-undang berkaitan Akta Sewa dan Beli Islam serta Akta Pajak Gadai Islam demi membangunkan sektor kewangan Islam di Malaysia dan mengekalkan kedudukan negara kita sebagai pusat kewangan Islam yang terunggul di dunia.

Ia juga akan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dan rujukan bagi sektor kewangan Islam kerana buat pertama kalinya undang-undang tersebut diadakan di dunia. Huraian mengenai akta berkenaan adalah seperti berikut:

1. Akta Sewa dan Beli Islam (Islamic Hire and Purchase Act)

Semenjak Hire Purchase Act 1967 diadakan, semua transaksi sewa beli (kenderaan, perabot dan lain-lain) termasuk oleh orang Islam dilakukan mengikut akta tersebut. Transaksi-transaksi di bawah akta tersebut berasaskan riba yang haram bagi orang Islam.

Untuk mengelaknya, institusi-institusi kewangan telah mengadakan transaksi sewa dan beli patuh syariah. Mereka melakukannya mengikut nasihat jawatankuasa syariah yang ditubuhnya sendiri dan ahli-ahlinya yang dilantik dan diberi elaun oleh institusi-institusi itu sendiri.

Akibatnya:

1.Tidak ada keseragaman mengenai hukum yang ditetapkan oleh jawatankuasa-jawatankuasa syariah itu;

2.Jawatankuasa-jawatankuasa syariah itu tidak mempunyai kepakaran yang cukup dalam bidang berkenaan;

Artikel Berkaitan:

3.Oleh sebab ahli-ahli jawatankuasa syariah itu dibayar elaun oleh institusi-institusi berkenaan, tidak nampak bahawa mereka itu bebas dalam membuat keputusan mereka;

4.Tidak ada undang-undang dan peraturan khusus untuk dipatuhi; dan

5.Tidak ada agensi kerajaan yang mengawal selia industri itu.

Namun demikian, industri sewa dan beli Islam itu terus berkembang sehingga jumlahnya dianggarkan melebihi RM60 bilion. Jumlah ini adalah anggaran kerana tiada statistik rasmi bagi industri sewa dan beli Islam di Malaysia.

Biasanya, pihak industri lebih gemar sekiranya industri mereka tidak dikawal dengan ketat oleh agensi kerajaan. Tetapi, dalam hal ini, pihak industri sendiri yang meminta kerajaan mengawalnya, demi untuk memastikan keseragaman amalannya dan sahnya transaksi-transaksi itu di sisi syarak.

Semenjak lebih kurang 30 tahun dahulu, pihak Jawatankuasa Teknikal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang pada suatu masa saya sendiri pernah menjadi ahlinya, dengan bantuan Jabatan Peguam Negara telah cuba menggubal satu akta berkaitan dengan jual dan beli Islam.

Tetapi, kekurangan kepakaran dalam jawatankuasa itu, tidak mendapat sokongan bersungguh-sungguh oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) (kini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) serta tiada kehendak politik (political will), maka usaha tersebut terbengkalai.

Saya meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri untuk mengambil inisiatif bagi menghidupkan semula cadangan mengadakan akta/undang-undang itu. Beliau hanya perlu mengarahkan kementerian berkenaan bahawa beliau mahukan akta/undang-undang itu dibuat untuk dilulus oleh Parlimen dengan seberapa segera. Maka KPDNHEP akan terpanggil untuk mengambil tindakan. KPDNHEP cuma perlu mengemukakannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk penggubalan muktamad. Saya percaya Peguam Negara yang baharu tiada masalah melakukannya.

2. Akta Pajak Gadai Islam/Al Rahnu (Islamic Pawn Shop/Al-Rahnu Act)

Semenjak diadakan Pawnbroking Act 1972, semua transaksi pajak gadai, termasuk yang melibatkan orang Islam dijalankan mengikut akta itu. Ia juga berasaskan riba.

Sama juga dengan industri sewa beli, untuk mengelak riba dan juga transaksi-transaksi yang tidak patuh syariah, semenjak lebih kurang 20 tahun dahulu, institusi-institusi kewangan dengan bantuan penasihat syariah, mengadakan produk Al-Rahnu. Mereka juga melakukannya secara berasingan mengikut model masing-masing. Tiada keseragaman, tiada undang-undang dan peraturan untuk dipatuhi dan tiada kawalan khusus oleh mana-mana agensi kerajaan.

Bidang kuasa

Namun demikian, mengikut maklumat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun 2017, nilai industri pajak gadai Islam yang diuruskan oleh institusi-institusi Perbankan Islam melalui produk Ar-Rahnu adalah sebanyak RM2 bilion (25 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai industri pajak gadai).

Pajak gadai terletak di bawah bidang kuasa KPKT. Semasa saya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pengharmonian Undang-undang Sivil dan Syariah (JKPUSS) dahulu, saya diberitahu, di bawah kerajaan Barisan Nasional, menteri yang bertanggungjawab terhadap kementerian berkenaan adalah daripada MCA.

Beliau menentang diwujudkan akta/undang-undang Al-Rahnu kerana ia akan bersaing dengan industri pajak gadai yang dimonopoli oleh ahli-ahli orang Cina.

Apabila beliau diganti oleh seorang menteri Melayu, saya memanggil pegawai yang bertanggungjawab bagi bahagian berkenaan. Pegawai itu ialah seorang Cina. Apabila saya bertanya apa rancangan kementerian itu mengenai Al-Rahnu, beliau menjawab, Al-Rahnu akan menjadi saingan yang tidak adil kepada industri pajak gadai kerana pengamal Al-Rahnu tidak perlu membayar fi.

Saya menjawab, jika fi tidak dikenakan sekarang, itu kerana tidak ada undang-undang yang menghendaki lesen diambil dan fi dibayar. Jika ada undang-undang yang menghendaki lesen diambil dengan bayaran fi, fi kena dibayar juga.

Ini dengan jelas menunjukkan bagaimana mereka tidak menyokong pembangunan industri Al-Rahnu.

Saya cadangkan kerajaan Perikatan Nasional mengambil inisiatif mengadakan akta/undang-undang Al-Rahnu. Dengan adanya akta ini, ia akan kukuhkan lagi industri tersebut dan yang paling utama memastikan hak-hak pengguna, terutamanya mereka yang beragama Islam, dilindungi dan halal mengikut syarak.

Untuk makluman, Bank Negara Malaysia sedang dalam usaha mengukuhkan produk-produk Ar-Rahnu yang ditawarkan institusi Perbankan Islam untuk memastikan ia mengikut prinsip syariah yang tepat. Ini selari dengan Dokumen Polisi Tadbir Urus Syariah yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia pada akhir tahun 2019.

Dengan adanya akta/undang-undang Al-Rahnu yang khusus, ia akan menyokong usaha Bank Negara. Saya yakin Bank Negara akan bersedia membantu KPKT sekiranya ia berhasrat menggubal akta/undang-undang itu.

Akhir kata, jika kerajaan Perikatan Nasional berjaya membuat dua undang-undang itu, katakanlah dalam masa setahun sekalipun, ia akan menunjukkan kejayaan kerajaan Perikatan Nasional yang tidak dapat dilakukan dalam masa 30 tahun oleh kerajaan BN dan Pakatan Harapan.

Melakukannya tidak melibatkan perbelanjaan. Malah, ia akan menjadi sumber kewangan. Ia juga boleh mewujudkan peluang pekerjaan baharu terutamanya untuk anak-anak Melayu. Insya-ALLAH, ganjaran di akhirat juga mungkin menunggu kerana ia membolehkan umat Islam mengelak daripada terlibat dengan riba.

*Tun Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara