Subjek kemahiran berfikir gagal

A
A
A

SUBJEK kemahiran berfikir kritis dan kreatif yang banyak ditawarkan di universiti-universiti lokal memberi gambaran bahawa budaya kritis wujud di kampus. Hakikatnya jauh sekali.

Subjek Kemahiran Berfikir bukan subjek yang bebas daripada pengaruh budaya tempatan dan mindset pensyarah. Kalau budaya dan pensyarah adalah katak di bawah tempurung, maka subjek itu hanya melahirkan tahap pemikiran bawah tempurung juga.

Birokrasi universiti cenderung menekankan kecanggihan kurikulum tetapi mengetepikan kualiti pengajar. Diandaikan bahawa kalau rangka kursus itu hebat, maka pelajar yang dilahirkan itu semestinya hebat bila pelajar dapat markah tinggi.

Tetapi kurikulum hanyalah isu perancangan atas kertas semata-mata. Ia adalah umpama buku resipi yang mahal. Secanggih manapun sebuah buku resipi, tukang masaklah yang akhirnya menentukan kualiti hidangan.

Sebuah universiti yang mewah adalah umpama sebuah restoran mewah. Memanglah suasana sekelilingnya memuaskan tetapi kelazatan hidangan akhirnya akan bergantung juga pada kualiti tukang masak.

Saya pernah makan char kueh teow di hotel lima bintang dan di sebuah gerai tepi jalan. Akhirnya gerai tepi jalan ini juga yang jauh lebih lazat kerana tukang masaknya memang cekap!

Saya lihat subjek Kemahiran Berfikir gagal melahirkan graduan yang mampu bersaing secara kreatif dengan graduan Israel. Kita boleh pijak bendera Israel tetapi universiti kita dipijak kepala oleh inovasi Israel!

Penilaian subjek Kemahiran Berfikir adalah relatif dan berkait rapat dengan kualiti gurunya. Guru sebenarnya menilai pelajar berdasarkan tahap IQ.

Artikel Berkaitan:

Kalau IQ guru rendah, pelajar yang mendapat markah cemerlang adalah cemerlang berdasarkan penilaian IQ guru yang rendah! Markah pelajar tidak mencerminkan tahap pemikiran kritis seorang pelajar tetapi lebih mencerminkan tahap pemikiran gurunya!

Adalah kesilapan yang besar mengandaikan bahawa penilaian pelajar berdasarkan rangka kursus dan rubrik adalah tepat. Bahkan jauh sekali daripada kebenaran. Ini semua hanya isu atas kertas semata-mata umpama buku resipi tersebut.

KesilapanSebenarnya kesilapan besar universiti ialah menilai prestasi kritis seorang pelajar tanpa merujuk kepada siapa gurunya.

Pada zaman kegemilangan tamadun Muslimin, pelajarlah yang juga menilai tahap pemikiran dan ilmu seorang guru. Pelbagai strategi digunakan oleh pelajar. Kalau didapati guru itu sebenarnya tin kosong, pelajar tidak teragak untuk meninggalkan gurunya dan beralih kepada guru lain yang lebih hebat.

Tapi zaman sekarang, pelajar masuk universiti bukan kerana nama guru, tetapi kerana nama universiti. Pelajar masuk universiti seperti masuk McD. Dia tidak peduli pun siapa 'tukang masak' atau guru yang wujud di sana. Dia hanya mahu universiti yang pantas menghidangkan ijazah!

Ini bukan salah pelajar. Universiti sendiri tidak menonjolkan pensyarah-pensyarahnya sendiri.

Universiti hanya mahu kejar ranking. Ia hanya berminat menaikkan nama universiti semata-mata. Guru hanyalah 'kuli universiti'.

Pembelajaran hanyalah student centered, bukan teacher centered. Guru hanya sekadar fasilitator seperti tukang masak McD. Pelajar “dicenterkan” kerana dia ialah klien yang membawa dana kepada universiti.

Pensyarah yang cemerlang adalah pensyarah yang gajinya murah dan mematuhi KPI birokrasi, rangka kursus, kurikulum dan silibus.

Bila pelajar grad nanti, pensyarah akan di lupakan. Nama pensyarah pun tiada tercatat di ijazah.

Graduan hanya membawa bersamanya markah dan nama universiti. Kalau markah A dalam subjek Kemahiran Berfikir, maka akan dikenali di dunia luar sebagai pemikir kritis walaupun pada hakikatnya gurunya hanyalah badut kepada birokrasi yang jumud.

* Xifu Naser ialah Pensyarah Pemikiran Kreatif Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)