Kes jenayah Perak menurun sejak PKP

Razarudin
Razarudin
A
A
A

IPOH - Polis Perak mencatatkan penurunan kes jenayah sebanyak 41.1 peratus sepanjang tempoh 12 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, sebanyak 83 kes dicatatkan sehingga semalam, berbanding tempoh sama tahun lalu yang telah mencatatkan 141 kes.

Menurutnya, pihaknya telah menggerakkan seramai 5,640 petugas dengan menjalankan sekurang-kurangnya 74 sekatan jalan raya setiap hari termasuk di sempadan negeri dan jalan keluar masuk tol.

"Pihak polis turut mengarahkan mana-mana kenderaan yang tidak mempunyai alasan yang sepatutnya untuk berpatah balik bagi memastikan tiada pergerakan yang tidak dibenarkan berlaku.

"Sebanyak 230 pasukan pemeriksaan mengejut 'snap check' telah ditugaskan bagi melakukan pemeriksaan dan pemantauan terhadap pematuhan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Razarudin berkata, seramai 171 individu telah ditahan setelah didapati telah ingkar arahan semasa PKP setakat hari ini.

"Sebanyak 85 kertas siasatan telah dibuka di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020 serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Pihak polis turut memastikan langkah-langkah pencegahan daripada jangkitan Covid-19 ini dipatuhi oleh masyarakat termasuk mengamalkan penjarakan sosial ketika menjalankan urusan di pasar-pasar awam dan institusi-institusi kewangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk terus bekerjasama dengan mematuhi PKP dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelak jangkitan wabak berkenaan.