Masih ada melepak, gagal beri alasan munasabah: Polis

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai 13 individu termasuk empat remaja ditahan di daerah ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dua lelaki berusia 52 dan 57 tahun ditahan secara berasingan kira-kira jam 12 tengah hari kerana gagal memberikan alasan munasabah semasa sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Persekutuan hala ke Shah Alam.

Menurutnya, tangkapan seterusnya dibuat kira-kira jam 6 petang ke atas tiga lelaki termasuk dua warga Indonesia berusia lingkungan 31 hingga 36 tahun tahun selepas dikesan berkumpul di taman permainan Pangsapuri Sri Meranti, Bandar Sri Damansara.

"Kemudian, empat lelaki termasuk tiga remaja ditahan secara berasingan bermula jam 6.30 petang di tepi jalan Masjid Kayu Ara Damansara.

"Kesemua mereka berusia 15 hingga 24 tahun itu ditahan kerana tidak mengendahkan arahan supaya beredar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, tiga lelaki warga Indonesia juga telah ditahan kira-kira jam 9.30 malam dalam sekatan jalan raya di Tol Subang menghala keluar dari Petaling Jaya kerana gagal memberi alasan munasabah mengenai pergerakannya.

Katanya, seorang lagi remaja lelaki berusia 16 tahun turut ditahan kira-kira jam 1.30 pagi tadi ketika sedang melepak di kawasan Blok 4 Desa Mentari Petaling Jaya.

Tambahnya, kesemua tangkapan disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, polis menggesa orang ramai agar patuh perintah PKP dan tidak mengambil remeh tentang perkara ini. Kita harap tahap pematuhan arahan PKP ini meningkat kepada 90 peratus," katanya.