Covid-19: Pahang tambah lima lagi inisiatif

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Pahang mengumumkan lima lagi inisiatif sebagai tambahan membabitkan peruntukan RM4.258 juta bagi membantu rakyat berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menerusi inisiatif itu kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada 500 atau 21,000 penerima di 42 Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang.

"Senarai penerima akan ditentukan dengan kerjasama penghulu dan ketua kampung. Bantuan membabitkan keperluan RM50 dan wang tunai RM100. Nilai keseluruhan peruntukan ialah sebanyak RM3.15 juta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seramai 80 penghulu dan 542 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) masing-masing menerima bantuan tunai RM300 dan RM200 menerusi peruntukan RM132,400

Katanya, kerajaan juga meluluskan pemberian 500 kampit beras kepada semua 42 DUN untuk disumbangkan kepada golongan yang memerlukan membabitkan peruntukan RM304,500.

Selain itu, Wan Rosdy memberitahu seramai 1,500 penduduk miskin tegar akan menerima

keperluan bernilai RM50 secara ‘one-off’ membabitkan peruntukan RM75,000.

"Wang RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada masyarakat orang asli di seluruh negeri pula melibatkan 3,975 orang dengan nilai peruntukan RM596,250,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 Mac lalu, Kerajaan Pahang sudah mengumumkan lapan inisiatif dengan memperuntukkan RM14.99 juta bagi membantu rakyat yang terkesan dengan penularan wabak pandemik Covid-19.

Wan Rosdy berkata, setelah seminggu inisiatif itu dilaksanakan seramai 18,000 penduduk menerima manfaatnya.