Kejadian rogol tidak berlaku

MOHD KHALIL
A
A

JOHOR BAHRU - Kejadian rogol seorang murid perempuan berusia tujuh tahun oleh tiga rakan sekelasnya di sebuah sekolah di bandar raya ini, semalam disahkan tidak berlaku.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya ada menerima maklumat kejadian itu tetapi menegaskan ia bukanlah perkara sebenar yang berlaku.

Katanya, siasatan lanjut berhubung perkara itu juga telah dilakukan selain murid yang dikatakan menjadi mangsa telah dibawa menerima pemeriksaan dengan pakar.

“Selepas pemeriksaan rapi dengan doktor pakar memang tidak wujud apa yang diviralkan.

“Viral isunya bahawa pekerja sekolah nampak beberapa budak lelaki dan perempuan dalam bilik air.

"Siasatan rapi kita sedang buat, kanak-kanak itu juga dihantar mendapat laporan perubatan, hakikatnya kita dapat maklum balas tidak wujud insiden rogol,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Terdahulu, tular satu laporan polis berhubung kejadian itu yang mana dikatakan berlaku dalam sebuah bilik air di sebuah sekolah dalam bandar raya ini.

Menerusi laporan itu, kanak-kanak berkenaan pada mulanya telah di bawa ibunya untuk membuat pemeriksaan di Hospital Sultan Ismail kerana disyaki telah dirogol.

Berdasarkan keterangan ibunya, pihak sekolah memaklumkan anaknya telah di jumpai berada di dalam tandas pelajar lelaki bersama tiga rakan sekelasnya oleh tukang cuci sekolah.