Covid-19: Pesakit pulih paling ramai direkodkan hari ini

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan kes pulih terbesar hari ini dengan 91 kes sepanjang negara dilanda wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu terdiri daripada pelbagai kluster termasuk tabligh.

"Ada banyak (kluster) telah pulih dan dibenar pulang hari ini," katanya.

Menurutnya, bilangan tersebut menjadikan jumlah kumulatif pesakit Covid-19 yang telah pulih adalah 479 kes.

"Kes pulih merupakan 18.2 peratus daripada keseluruhan kes positif," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, status terkini kes positif Covid-19 setakat tengah hari ini mencatat penambahan sebanyak 156 kes.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,626 kes," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 94 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah tersebut, 62 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Mengulas mengenai kes kematian, beliau berkata, sebanyak tiga kes pertambahan direkodkan boleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan.

"Kes kematian ke-35 merupakan kes ke-1,952 yang berumur 57 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

"Wanita berkenaan mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia dan dirawat Hospital Sungai Buloh disahkan meninggal dunia jam 4 petang semalam," katanya.

Menurutnya, kes kematian ke-36 melibatkan kes ke-1,941 yang merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 47 tahun.

"Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 23 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada jam 8.10 pagi tadi," katanya.

Tambahnya, kes kematian ke 37 melibatkan wanita berumur 46 tahun mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit autoimun.

"Dia merupakan pesakit ke 2,471 telah dirawat di Hospital Miri, Sarawak dan disahkan meninggal

dunia jam 9.02 pagi tadi," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini bayi berusia 12 hari yang dijangkiti Covid-19, beliau berkata, bayi berkenaan dalam pemantauan.