'NGO perlu main peranan sebab kerajaan tidak telus, cekap'

Liow Cai Tung
Liow Cai Tung
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu terlibat mengedarkan makanan serta barangan keperluan asas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kerajaan dilihat kurang telus dan cekap dalam pengagihan bantuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung berkata, kerajaan juga dilihat tidak mempunyai koordinasi serta komunikasi dengan jabatan berkenaan dan masyarakat selain mempunyai pemahaman yang kurang lengkap berkenaan permasalahan tersebut sebelum membuat keputusan itu.

"Disebabkan kerajaan yang kurang telus dan cekap, banyak NGO mengambil inisiatif mengedarkan makanan dan keperluan asas kepada golongan sasar sejak pelaksanaan arahan PKP pada 18 Mac lalu. Usaha ini tidak harus dilepas pandang kerajaan.

"Difahamkan ramai yang tidak bergaji sepanjang tempoh PKP kerana gaji dibayar secara harian. Mereka hanya bergantung kepada bantuan sumbangan Ahli Parlimen, ADUN dan NGO untuk memudahkan keluarga mendapatkan makanan dan keperluan harian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin kerajaan mengumumkan mana-mana NGO yang ingin menyumbang barangan keperluan atau makanan supaya menghantarnya ke pusat pengumpulan di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah di seluruh negara.

Kerajaan bukan sengaja menghalang NGO untuk mengedar makan secara terus kepada penerima, sebaliknya langkah tersebut diambil bagi menjaga kepentingan semua dan atas nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan.

Cai Tung yang juga bekas Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor berkata, arahan baharu kerajaan itu kurang jelas mengenai mekanisme dan gerak kerja.

"Sebenarnya kami mempunyai senarai nama orang ramai yang masih sedang menunggu bantuan kami. Adakah kami hanya tolak semua tanggunjawab kepada JKM dengan memberitahu orang yang sedang menunggu bantuan ini untuk pergi ke pejabat JKM sahaja?

Artikel Berkaitan:

"Atau pun kami masih boleh mengedarkan bantuan sedia ada dan JKM akan mengambil alih pengedaran seterusnya?" soalnya.

Menurutnya, Pusat Komuniti DUN Johor Jaya sebelum ini bekerjasama dengan beberapa pihak lain dan berjaya mengedarkan 500 bungkusan barang keperluan kepada keluarga kurang berkemampuan, warga emas, keluarga ibu dan bapa tunggal serta orang kurang upaya (OKU) sepanjang tempoh PKP.

"Sebagai bekas Exco negeri, saya tahu kerajaan mempunyai data lengkap kumpulan B40 untuk menyediakan bantuan yang cukup dengan mekanisme yang betul.

"Jadi, kerajaan sepatutnya sudah mempunyai mekanisme yang mantap sebelum membuat pengumuman untuk menghentikan pengedaran NGO dan bukan sekarang baru mula mencari penyelesaian," katanya.

Dalam pada itu, Cai Tung berharap kerajaan dapat meneliti semula arahan berkenaan dan bekerjasama dengan NGO dalam menyelaraskan sumber-sumber bantuan yang sedia ada bagi menjaga kebajikan sosial golongan sasar dengan cara lebih cekap.