Elak kesan psikologi jangka panjang Covid-19

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mekanisme penyesuaian diri yang baik terutamanya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara yang sedang berkuat kuasa kini diperlukan bagi mengelak kesan psikologi jangka panjang akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Firdaus Abdul Ghani berkata, orang ramai dinasihati agar mengekalkan rutin harian yang biasa, mengekalkan tabiat pemakanan yang sihat dan seimbang ketika duduk di rumah.

“Sentiasa bersenam, dapatkan tidur yang cukup, kurangkan pengambilan kafein dan elakkan minuman beralkohol, rokok dan dadah. Sebenarnya, inilah masa yang bagus untuk berhenti merokok.

“Teknik bersantai seperti menarik nafas panjang, mendengar muzik dan pengenduran otot yang progresif boleh membantu mengurangkan kebimbangan. Mengehadkan masa untuk media dengan menghentikan menonton, membaca atau mendengar berita termasuk dalam media sosial berkaitan pandemik ini, mungkin juga memberi manfaat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Firdaus berkata, mereka juga boleh terus berhubung dengan ahli keluarga dan rakan taulan menerusi panggilan telefon atau media sosial bagi mengelakkan pengasingan sosial dan merancang aktiviti bersama atau pembelajaran secara maya yang mampu menyumbang secara positif terhadap kesihatan mental.

Bagi kanak-kanak, beliau mencadangkan agar diwujudkan jadual pembelajaran dan aktiviti santai bagi membantu golongan ini menyesuaikan diri dengan tekanan berada dalam rumah sepanjang masa.

“Jawab soalan dan berkongsi fakta mengenai Covid-19 dengan cara yang anak atau remaja ini boleh faham. Beri jaminan kepada anak anda mengenai keselamatan mereka dan langkah berjaga-jaga yang perlu mereka amalkan,” katanya.

Bagi pesakit yang memerlukan bekalan ubat-ubatan secara berterusan dan mempunyai pemeriksaan susulan berjadual, Firdaus berkata, adalah lebih baik menghubungi hospital setempat mengenai khidmat yang masih ditawarkan kerana ia mungkin berbeza berdasarkan penetapan dan sumber yang ada.

Artikel Berkaitan:

Bagi mereka yang tertekan sepanjang tempoh PKP, turut digalakkan menggunakan khidmat sokongan psikososial secara dalam talian yang disediakan Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan.

Khidmat psikososial disediakan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Mercy Malaysia boleh dicapai di talian 03-29359935, 011-63996482, 011-63994236 manakala Befrienders boleh dihubungi di talian 03-79568145. - Bernama