Covid-19: Sanitasi lima perumahan di Senawang, Ampangan

Hamdan(kiri) memberi taklimat kepada anggota bomba dari Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) yang bertanggungjawab membuat proses sanitasi.
Hamdan(kiri) memberi taklimat kepada anggota bomba dari Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) yang bertanggungjawab membuat proses sanitasi.
A
A
A

SEREMBAN - Lima kawasan taman perumahan di Senawang dan Ampangan menjadi lokasi terawal disanitasi hari ini bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Taman perumahan terbabit ialah Taman Panchor Jaya di Ampangan, Taman Desa Orkid, Taman Sri Pagi, Taman Desa Melor dan Taman Desa Anggerik masing-masing di Senawang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Hamdan Ali berkata, pemilihan Senawang dan Ampangan berikutan ia diklasifikasikan sebagai zon merah.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri telah dipertanggungjawabkan untuk memainkan peranan sebagai urusetia di peringkat Negeri Sembilan dan hari ini jumlah keseluruhan anggota yang terlibat ialah 164 orang.

“Ia turut melibatkan sembilan agensi kerajaan lain iaitu Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, SWM Enviroment, Syarikat Air Negeri Sembilan, Pejabat Penerangan, Pejabat Daerah Seremban dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,”katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Proses sanitasi dilakukan mengikut prosedur operasi standard(SOP) ditetapkan.
Proses sanitasi dilakukan mengikut prosedur operasi standard(SOP) ditetapkan.

Menurutnya, pasukan bomba bertanggungjawab melakukan sanitasi di kawasan dalam bangunan yang menjadi tumpuan awam.

Beliau berkata, bagi kawasan perumahan dan tempat tumpuan awam seperti masjid dan surau, kerja-kerja nyahkuman akan dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) dan SWM.

Artikel Berkaitan:

“Proses sanitasi ini akan dilakukan secara berperingkat di kawasan yang dilabelkan zon merah dan esok kita akan lakukan di Pasar Besar Seremban dan Pasar Ampangan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Epidemiologi Pejabat Kesihatan Daerah Seremban, Dr Muhamad Hazizi Muhamad Hasani berkata, daerah Seremban mencatatkan jumlah kes paling tinggi di Negeri Sembilan iaitu 108 kes setakat ini.