Kerajaan digesa libatkan NGO dalam penyaluran bantuan kepada rakyat

Dr Hafidzah
Dr Hafidzah
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan diminta memberi kelonggaran kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk terlibat dalam menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, ini kerana NGO lebih tahu golongan sasar yang memerlukan bantuan melalui penyampaian segera tanpa kerenah birokrasi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan amalan sebelum ini dikekalkan atau pun ditambah baik termasuk memberikan sebahagian peruntukan kepada NGO terpilih dan berdaftar sebagai badan penyampai yang membantu kerajaan untuk menyantuni rakyat.

“Sudah tiba masanya kerajaan mengiktiraf NGO sebagai rakan kongsi bukan pesaing dalam kita semua memberikan khidmat terbaik untuk rakyat," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, pihaknya turut mempersoalkan dari segi keanggotaan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang terlibat dalam menyalurkan bantuan sama ada jumlah mereka mencukupi untuk menggalas tanggungjawab tersebut memandangkan penularan wabak berlaku di seluruh negara.

“Memang sudah terbukti sejak sekian lama. Sewaktu bencana banjir besar di Kelantan pada tahun 2014, peranan NGO begitu menonjol memberikan bantuan kepada rakyat akar umbi sehingga menjadi sebutan dan ingatan hingga ke hari ini.

“Pengumuman kerajaan supaya pihak NGO berhenti menghantar sumbangan kepada golongan sasar sebaliknya menyerahkannya kepada pihak JKM amat menggusarkan aktivis NGO," katanya.

Beliau berkata, sekiranya langkah diambil kerajaan itu disebabkan isu keselamatan, beliau memberitahu bahawa kerajaan boleh menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan khusus kepada NGO.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini katanya, kebanyakan NGO prihatin dengan langkah-langkah penjagaan seperti penggunaan topeng muka, sarung tangan dan amalan penjarakan sosial sebagaimana disarankan.