Waspada kes ragut ketika PKP!

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berkuat kuasa, penjenayah termasuk peragut masih aktif dan oleh itu orang ramai diingatkan untuk lebih berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling.
Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berkuat kuasa, penjenayah termasuk peragut masih aktif dan oleh itu orang ramai diingatkan untuk lebih berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berkuat kuasa, penjenayah termasuk peragut masih aktif dan oleh itu orang ramai diingatkan untuk lebih berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ini terutamanya ketika keluar membeli barangan keperluan atau ketika menunggu giliran dan beratur mengikut jarakan sosial.

"MCPF mengutuk sekeras-kerasnya kejadian jenayah ragut yang berlaku baru-baru ini di sebuah farmasi di Klang, Selangor... tindakan peragut dalam saat rakyat Malaysia berdepan tempoh getir menghadapi wabak Covid-19 amatlah terkutuk dan seperti menangguk di air yang keruh.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati... janganlah terlalu leka dan ghairah dengan penggunaan telefon bimbit ketika sedang beratur atau menunggu giliran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyarankan agar pemilik premis-premis perniagaan memasang kamera litar tertutup (CCTV) serta memastikan ia dapat berfungsi dengan baik.

"Kamera ini dapat merakam segala kejadian ragut yang berlaku secara terperinci... apabila wujudnya bukti yang kukuh seperti ini, penjenayah ragut dapat ditangkap dan dihukum setimpal dengan kesalahannya," katanya.

Katanya, MCPF juga sentiasa mengalu-alukan usaha pihak polis untuk membanteras jenayah ragut, namun adalah jelas banyak lagi tindakan perlu dilakukan untuk menangani jenayah itu daripada terus berulang terutamanya pada ketika ini bila ada penjenayah mengambil kesempatan.

"Pihak polis hendaklah menempatkan anggotanya yang berpakaian biasa serta mempertingkatkan rondaan dan kawalan di sesetengah kawasan yang berisiko terutamanya di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan barangan keperluan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: