EAM keluarkan amaran Penyakit Kuda Afrika

Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) hari ini mengeluarkan amaran kepada pemilik kuda tempatan berikutan penularan Penyakit Kuda Afrika (AHS) di Thailand.
Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) hari ini mengeluarkan amaran kepada pemilik kuda tempatan berikutan penularan Penyakit Kuda Afrika (AHS) di Thailand.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) hari ini mengeluarkan amaran kepada pemilik kuda tempatan berikutan penularan Penyakit Kuda Afrika (AHS) di Thailand.

Penularan virus penyakit yang boleh menyebabkan kematian yang berasal dari Afrika itu biasanya menjangkiti kuda, baghal dan keldai, dilaporkan telah menyebabkan kematian 42 ekor kuda di wilayah timur utara, Khorat.

Sehubungan dengan itu, EAM selaku badan bertanggungjawab bagi pembangunan dan mempromosikan acara ekuestrian di negara ini telah mengeluarkan satu pekeliling pada Sabtu (28 Mac) bagi menjaga populasi kuda di negara ini dengan beberapa langkah pencegahan biosekuriti.

Antara langkah tersebut termasuklah mengehadkan pergerakan kuda keluar dan masuk daripada kawasan mereka, mengasingkan kuda yang mempunyai tanda-tanda klinikal dan membuat semburan membasmi kuman ke atas kesemua kenderaan makanan dan makanan sepenuhnya.

“Untuk kandang di bahagian utara (Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu) sila kemas kini log pergerakan untuk kuda-kuda anda dari Thailand untuk tempoh 30 hari kebelakangan ini. Jika ada kuda yang menunjukkan tanda demam panas, hidung berhingus, kurang selera makan, kesukaran bernafas atau mati secara tiba-tiba, mereka perlu melaporkan dengan segera kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri (DVS) dan EAM dengan segera.

“Kuda yang sakit tidak boleh dipindahkan dari kandangnya ke fasiliti lain tanpa pengetahuan dan kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Oleh kerana penyebaran penyakit ini melalui sera penggigit (Culicoides), langkah pencegahan perlu diambil bagi memastikan penjagaan kebersihan kandang sentiasa terjaga.

“Culicoides aktif pada awal pagi dan lewat petang, sila lakukan penyemburan di persekitaran kandang dua kali sehari,” menurut surat yang ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Veterinar EAM, Dr Shri Kanth.

Kandang-kandang di kawasan utara ini juga dinasihatkan untuk memasang jaring anti serangga dan menggunakan semburan serangga pada kuda lebih daripada dua kali sehari, selain tidak membenarkan kuda berada di padok untuk satu tempoh masa yang lama.

Artikel Berkaitan:

Oleh kerana air bertakung dan kolam menjadi tempat pembiakan sera penggigit, adalah dinasihatkan untuk membersihkan tempat tadahan air dengan kerap, meletakkan ubat anti larva dan memasang alat menggerakkan air atau oksigen di dalam takungan air. - Bernama