Enam lokasi berisiko Covid-19 dinyahcemar di Kelantan

Md Salleh memeriksa kelengkapan peralatan pelindungan diri yang gunakan anggotanya sebelum memulakan operasi nyahcemar di Pasar Tok Guru.
Md Salleh memeriksa kelengkapan peralatan pelindungan diri yang gunakan anggotanya sebelum memulakan operasi nyahcemar di Pasar Tok Guru.
A
A
A

KOTA BHARU - Enam lokasi berisiko penularan wabak koronavirus (Covid-19) di zon merah di Kelantan sudah dinyahcemar bermula semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Md Salleh Sarbini berkata, antara lokasi terbabit ialah kawasan perumahan dan kawasan yang berisiko tinggi terkena jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, selain premis, kawasan laluan awam dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) juga akan dinyahcemar mengikut saranan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mengikut data yang dikeluarkan KKM, kawasan Pasar Tok Guru antara kawasan melibatkan jangkitan Covid-19,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau mengetuai Program Sanitasi Awam-Covid-19 di Pasar Tok Guru, Pengkalan Chepa bermula jam 10 pagi tadi.

Pasukan Hazmat JBPM Kelantan membuat semburan di dalam kawasan Pasar Tok Guru hari ini.
Pasukan Hazmat JBPM Kelantan membuat semburan di dalam kawasan Pasar Tok Guru hari ini.

Seramai 110 anggota dari beberapa agensi iaitu JBPM Kelantan, Polis, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Badan Raya Islam dan KKM menyertai operasi tersebut.

Katanya, lokasi lain yang terlibat ialah Penjara Pengkalan Chepa dan Pasar Siti Khatijah.

Artikel Berkaitan:

“Nyahcemar ini akan dibuat secara berterusan selaras arahan kementerian sebagai langkah berjaga-jaga mengekang penularan wabak Covid-19.

“JBPM sentiasa bekerjasama membantu agensi yang memerlukan bantuan dan khidmat jabatan dalam menangani wabak Covid-19,” katanya.