X

Kindly register in order to view this article
!

Mara manfaatkan kemahiran TVET sedia kelengkapan barisan hadapan

Pasukan tenaga pengajar TVET di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sedang menyiapkan tukup, sarung kaki dan PPE untuk disumbangkan kepada petugas kesihatan.
A
A

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) melalui institut Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) turut membantu barisan hadapan negara dengan menghasilkan peralatan untuk kegunaan golongan itu.

Antara tukup dan sarung kaki yang berjaya dihasilkan oleh tenaga pengajar TVET untuk disalurkan kepada petugas kesihatan dalam menangani penularan wabak Covid-19.
Antara tukup dan sarung kaki yang berjaya dihasilkan oleh tenaga pengajar TVET untuk disalurkan kepada petugas kesihatan dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, antara barangan yang dihasilkan termasuk alat perlindungan muka, tukup, sarung kaki dan peralatan perlindungan diri (PPE).

Menurutnya, institusi pendidikan MARA (IPMA) yang terlibat ialah Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan, Ledang, Rembau, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah dan MRSM Kubang Pasu menghasilkan alat perlindungan muka dengan menggunakan pencetak 3D untuk disumbangkan kepada beberapa hospital berhampiran.

“Dua pusat Giatmara di Rasah, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur serta Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Rembau pula berjaya memanfaatkan kemahiran tenaga pengajarnya dalam menghasilkan 50 tukup, 60 pasang sarung kaki dan 350 helai PPE.

Salah seorang tenaga pengajar TVET sedang menyediakan kelengkapan untuk membuat alat perlindungan muka dengan menggunakan pencetak 3D.
Salah seorang tenaga pengajar TVET sedang menyediakan kelengkapan untuk membuat alat perlindungan muka dengan menggunakan pencetak 3D.

"Semua barangan terbabitkan akan disumbangkan kepada Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan dan Hospital Ampang sebagai salah satu pelindung bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar berharap sumbangan itu dapat menambah jumlah keperluan untuk kegunaan barisan hadapan negara bagi menangani pandemik Covid-19.

Katanya, selain sumbangan kelengkapan, warga kerja Mara turut menggerakkan sumbangan barangan makanan serta kelengkapan ibadah terutamanya telekung solat untuk barisan hadapan bagi memudahkan urusan mereka ketika menjalankan tugas.

“Kami turut melancarkan Tabung Mara Prihatin bagi menggalakkan warga kerja menghulurkan sumbangan untuk disalurkan kepada Tabung Covid-19 di peringkat kebangsaan.

“Sumbangan kami ini tidak besar tetapi dengan mengambil kira keadaan semasa yang memerlukan kemahiran dan kepakaran tenaga pengajar TVET yang sedia ada, kami mampu berusaha dan memberi sumbangan kepada negara bagi menangani pandemik ini,” katanya.

Alat perlindungan muka yang telah siap diuji terlebih dahulu sebelum disumbangkan kepada beberapa hospital berhampiran.
Alat perlindungan muka yang telah siap diuji terlebih dahulu sebelum disumbangkan kepada beberapa hospital berhampiran.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus