Budak 5 tahun mangsa terbaru rabies di Sarawak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesahkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun di Bandar Sibu 26 Mac lepas adalah disebabkan oleh wabak rabies menjadikannya kes pertama dilaporkan tahun ini di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia juga menjadikan jumlah kes rabies kepada 23 sejak penyakit itu diisytiharkan sebagai wabak di negeri ini sejak 31 Julai 2017.

Kali terakhir kes wabak ini dilaporkan adalah pada 8 November tahun lepas.

Menurutnya mangsa terbaru ini digigit anjing liar pada 8 Mac lepas di bahagian muka, mulut serta kelopak mata, dan luka gigitan itu tidak dicuci dengan aliran air yang bersih dan sabun sejurus selepas kejadian.

“Beliau kemudiannya telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sibu pada hari yang sama, mendapat suntikan vaksin antitetanus, suntikan Rabies Immunoglobulin (RIG) dan dua dos suntikan vaksin antirabies semasa dirawat di Hospital Sibu,” katanya dalam satu kenyataan yang diterima di sini.

Mangsa telah didiscaj dari hospital itu dalam keadaan sihat pada 13 Mac dan diberikan lagi dos ketiga vaksin antirabies tiga hari kemudian.

Noor Hisham berkata, mangsa telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di sebuah Klinik Komuniti di Bandar Sibu kerana demam pada 24 Mac dan seterusnya ke Hospital Sibu keesokan harinya kerana sakit tekak dan sukar untuk menelan air serta berhalusinasi.

“Beliau telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut. Keadaannya bertambah teruk dan telah disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya. Punca kematian adalah ‘rabies encephalitis’,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sampel daripada kanak-kanak ini telah diambil pada 26 Mac dan disahkan positif rabies oleh Makmal Perubatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) tiga hari kemudian, sementara anjing liar yang menggigitnya juga dilaporkan telah mati pada 10 Mac tanpa sempat diambil sampelnya.

Berikutan kes terbaru ini, beliau menasihatkan orang ramai mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada dijangkiti rabies yang termasuk langkah segera jika digigit anjing, pemberian suntikan antirabies dan penjagaan kebersihan dan kesihatan diri dan haiwan peliharaan.

“KKM dan JKN (Jabatan Kesihatan Negeri) Sarawak akan mempertingkatkan lagi kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh.” katanya. - Bernama