X

Kindly register in order to view this article
!

Dakwaan tak boleh keluar rumah selepas 12 tengah hari palsu

Foto arkib
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Polis menafikan dakwaan penduduk Raub tidak dibenarkan keluar rumah selepas jam 12 tengah hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang ditularkan di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, pihak polis tidak pernah mengeluarkan kenyataan demikian sama ada menerusi media sosial atau kenyataan media.

“Oleh itu, dakwaan bahawa polis Raub mengehadkan tempoh keluar rumah selama lima jam bermula jam 7 pagi kerana dikatakan keadaan di sini seperti ‘pesta’ pada waktu tengah hari adalah tidak benar.

Dakwaan berlaku kesesakan di Bandar Raub juga tidak benar kerana kerana sejak PKP berkuatkuasa pada 18 Mac lalu tiada aduan kesesakan lalu lintas diterima,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Sehubungan itu, Kama Azural menggesa masyarakat supaya tidak panik dan tidak menyebarkan maklumat sedemikian di media sosial sehingga boleh menimbulkan kebimbangan awam.

Kama Azural berkata, sejak pelaksanaan PKP, penduduk Raub memberikan kerjasama yang baik sehingga daerah itu mencatatkan pematuhan sebanyak 97 peratus yang merupakan antara tertinggi bagi daerah di Pahang.

PKP dilaksanakan sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu lepas mengumumkan tempoh pelaksanaannya diteruskan sehingga 14 April ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus