X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Ekonomi terjejas tetapi tidak lumpuh

Walaupun ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan Eropah bakal terjejas namun ekonomi negara tersebut tidak akan lumpuh. - Foto EPA
A
A

SHAH ALAM - Walaupun ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan Eropah bakal terjejas kerana pada masa kini 72 peratus penularan kes jangkitan koronavirus (Covid-19) berlaku di AS dan Eropah, namun ekonomi negara tersebut tidak akan lumpuh.

Penganalisis Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, ini kerana negara-negara maju mempunyai rizab kewangan besar yang mampu untuk menyuntik semula dana bagi tujuan pertumbuhan ekonomi selepas penularan wabak ini berakhir.

"Kalau kita lihat AS sendiri telah mengumumkan suntikan pakej rangsangan berjumlah AS$2 trilion bagi menghadapi kemungkinan kemerosotan ekonomi akibat Covid-19 ini.

"Begitu juga negara Eropah seperti Itali dan Sepanyol ketika ini belum mengumumkan sebarang suntikan dana yang besar untuk ekonomi kerana masih menguruskan penularan wabak tetapi selepas ia selesai, pastinya akan ada suntikan terhadap ekonomi.

"Situasi negara ini berbeza dengan negara-negara membangun dan tidak membangun seperti di Afrika kerana mereka tidak mempunyai rizab yang besar.

"Jika situasi sama seperti yang berlaku di AS dan Eropah berlaku kepada mereka sudah pasti ekonominya lumpuh sama sekali serta memerlukan bantuan kewangan daripada luar," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ahli Majlis Negara Eropah menghadiri mesyuarat secara sidang video bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron. - Foto EPA
Ahli Majlis Negara Eropah menghadiri mesyuarat secara sidang video bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron. - Foto EPA

Berdasarkan data setakat jam 4 petang semalam, daripada 665,616 kes jangkitan Covid-19 seluruh dunia yang dicatatkan, sebanyak 478,679 kes dilaporkan di AS, Kanada dan negara-negara Eropah.

Nuradli Ridzwan berpendapat, AS tidak akan melaksanakan perintah berkurung secara keseluruhan di negara mereka kerana bimbang ekonomi negara tidak akan terjejas teruk.

"Kalau kita lihat Presidennya, Donald Trump meminta rakyatnya kembali bertugas selepas pelaksanaan sekatan pergerakan berakhir. Daripada sini kita boleh lihat beliau tidak mahu ekonominya terus terjejas dengan menolak soal keprihatinan terhadap rakyat.

"Saya berpendapat bakal berlaku lonjakan V terhadap pemulihan ekonomi AS dengan suntikan cukup besar iaitu AS$2 trilion diumumkan.

"Apa yang saya boleh katakan buat masa sekarang indeks pasaran saham negara itu akan jatuh dengan banyak negara turut terkesan," katanya.

Katanya, ekonomi dunia ketika ini terjejas kerana penularan Covid-19 dengan keluaran negara kadar (KDNK) berkemungkinan berada pada paras negatif.

"Kita perlu tahu, jika ekonomi AS terjejas ekonomi negara-negara lain di dunia ini juga akan terkesan tetapi selepas wabak ini berakhir, setiap negara akan mula melaksanakan pemulihan ekonomi dengan kadar pemulihannya bergantung kepada jumlah suntikan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus