Rabies di Perak terkawal

Ahmad Faizal (kiri) melihat model skala rumah yang bakal dibangunkan di Mukim Teja, Jalan Gopeng.
Ahmad Faizal (kiri) melihat model skala rumah yang bakal dibangunkan di Mukim Teja, Jalan Gopeng.
A
A
A

GOPENG - Penularan wabak rabies atau penyakit anjing gila di negeri ini berada dalam keadaan terkawal.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ketika ini Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak berkuasa tempatan (PBT) meneruskan usaha pengawasan terhadap anjing peliharaan dan anjing liar bagi memastikan wabak berkenaan tidak menular ke kawasan lain.

"Kedua-dua pihak sedang menjalankan usahasama untuk memastikan anjing-anjing ini tidak dijangkiti.

"Ianya bukan satu situasi yang perlu kita terlalu bimbang, tetapi kena ambil tindakan segera dan itulah yang kerajaan sedang lakukan sekarang," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telahpun diberikan taklimat oleh Pengarah Veterinar negeri berhubung situasi wabak berkenaan, semalam sebelum menandatangani pewartaan mengisytiharkan Mukim Taiping dan Bukit Gantang sebagai kawasan wabak rabies.

Menurutnya, daripada penerangan diberikan didapati, wabak itu bukan berpunca dari negeri ini, tetapi kawasan luar.

"Mukim ini sebelum ini pernah diwartakan sebagai kawasan wabak dan ia berlaku sekali lagi, apapun kita perlu ambil tindakan pengawasan sepertimana kita lakukan sekarang," katanya.

Justeru pihaknya menggesa setiap pemilik anjing peliharaan memastikan haiwan mereka mendapat suntikan di klinik-klinik supaya tiada penularan wabak berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Apabila tular ke kawasan lebih besar, ia mendatangkan masalah lebih serius, tentulah kita bimbang dengan anak-anak yang bermain di padang permainan, mereka terdedah dengan bahaya diserang anjing yang dijangkiti wabak ini," katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal menyempurnakan majlis Pecah Tanah Rumah Mesra Milik iaitu projek kerjasama antara Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dengan MK Land Holdings Berhad di Mukim Teja, Jalan Gopeng.

Menerusi kerjasama itu, 51 peratus atau 1,112 unit daripada keseluruhan jumlah kediaman yang dibina ditawarkan pada harga serendah RM70,000 hingga RM250,000.