Orang Asli elak budaya meminta-minta!

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kanan) beramah mesra bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Pos Musoh Landing Zone ketika hadir pada Program Masyarakat bersama pemimpin di sekolah tersebut hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kanan) beramah mesra bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Pos Musoh Landing Zone ketika hadir pada Program Masyarakat bersama pemimpin di sekolah tersebut hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
TAPAH – Penduduk Orang Asli di Perak perlu mempunyai inisiatif untuk meningkatkan sosio ekonomi di penempatan masing-masing terlebih dahulu bagi mengelakkan budaya meminta-minta daripada orang berkepentingan untuk membantu komuniti itu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata jika bantuan terus disalurkan tanpa mereka memulakan inisiatif memajukan tempat sendiri, dikhuatiri wang peruntukan yang disalurkan kerajaan tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

“Apa yang saya maksudkan ialah penduduk kampung Orang Asli perlu bersama-sama mencari alternatif untuk menaikkan ekonomi kampung mereka. Kerajaan sedia membantu namun kita menggalakkan mereka lupakanlah dahulu budaya terlalu meminta atau budaya menunggu orang luar datang menghantar barangan, bantuan dan sebagainya.

“Jika mereka rasakan kampung mereka ada potensi sebagai suatu tarikan pelancongan, maka saya syorkan kepada mereka majukan tempat sendiri terlebih dahulu, kemudiannya barulah kita pertimbangkan untuk meluluskan bantuan dipohon,” katanya.

Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program masyarakat bersama pemimpin, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Musuh LZ (Landing Zone) dekat sini hari ini.

Turut hadir isteri Menteri Besar, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Abdul Hadi Mohd Salleh, Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak Tijah Hassan, Tok Batin Pos Musuh Bah Hadi Bah Boy dan guru besar sekolah itu Azman Abdul Manaf.

Ketika berucap, Ahmad Faizal menyarankan penduduk Orang Asli Pos Musuh agar mencontohi usaha Orang Asli dari penempatan Pos Kuala Mu, Sungai Siput dalam aspek pelancongan sehingga berjaya menarik kedatangan pelancong di seluruh negeri.

“Mula-mula mereka bina satu rumah sahaja dan menyewakan kepada sesiapa yang datang, dengan menyimpan duit itu akhirnya mereka kini berjaya mewujudkan berpuluh-puluh buah homestay di kampung berkenaan kerana mereka mengetahui akan tarikan kawasan mereka.

“Jadi macam inilah kerajaan negeri bersemangat untuk menyalurkan bantuan dan secara tidak langsung menghargai apa yang dilakukan mereka, Saya percaya Pos Musuh LZ juga mempunyai tarikannya tersendiri” katanya.
Artikel Berkaitan:


Ahmad Faizal turut melahirkan rasa kagum dengan pencapaian sekolah pedalaman itu yang telah meraih 18 pencapaian terbaik sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan, antaranya dinobatkan selama tiga tahun berturut-turut (2015-2017) sebagai sekolah yang mencapai peratusan kehadiran 100 peratus muridnya ke sekolah.

Sehubungan itu, menteri besar meluluskan RM25,000 bagi menambah baik infrastruktur sekolah berkenaan.

SK Pos Musuh LZ, yang jaraknya kira-kira 40 kilometer sehala dari Pekan Tapah, terletak di sebuah daripada bukit di Banjaran Titiwangsa, di sebuah kawasan pedalaman yang dihuni penduduk Orang Asli daripada suku kaum Semai.

Untuk sampai ke sana, para guru mahupun penduduk tempatan terpaksa melalui lereng-lereng gunung yang sempit dan jurang dalam serta hanya muat untuk dilalui sebuah kenderaan pacuan empat roda. - Bernama