X

Kindly register in order to view this article
!

Pakej Prihatin dan Mak Cik Kiah

A
A

PAKEJ Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau Prihatin berjumlah RM250 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi manfaat kepada rakyat.

Ini merupakan janji kerajaan dalam menyantuni dan memahami rintihan rakyat dek kerana lockdown yang dilanjutkan hingga 14 April 2020.

Daripada jumlah itu, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara. Sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan terdahulu.

Frontliners menjadi keutamaan kerajaan kerana mereka juga berhadapan dengan risiko.

Maka, kerajaan mengumumkan peruntukan RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan.

Bagi meningkatkan keupayaan kementerian, kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk memerangi Covid-19 termasuk mendapatkan khidmat kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan swasta.

Sebagai menghargai pengorbanan warga Kementeri Kesihatan, kerajaan akan meningkatkan elaun khas yang diterima daripada RM400 kepada RM600 sebulan mulai 1 April 2020 sehingga wabak ini berakhir.

Pada masa yang sama, kerajaan juga bersetuju memanjangkan elaun khas sebanyak RM200 sebulan kepada anggota tentera, polis, kastam dan lain-lain dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Selain itu, pelajar institusi pengajian tinggi akan terima bantuan secara one-off RM200 seorang yang akan dibayar pada Mei 2020, libatkan peruntukan RM270 juta.

Golongan mudah terjejas seperti warga emas dan kanak-kanak di rumah perlindungan, OKU, gelandangan dan orang asal juga akan dibantu.

Kerajaan juga membenarkan pengeluaran prapersaraan daripada akaun B Skim Persaraan Swasta sehingga jumlah RM1,500 bagi setiap ahli tanpa sebarang penalti cukai dari April-Disember.

Viral

Kerajaan juga bersetuju memanjangkan pengecualian bayaran sewa bagi PPR daripada sebulan kepada enam bulan dengan jumlah kos RM3 juta ditanggung kerajaan.

Sebagai kerajaan prihatin, bantuan tunai one-off RM1,600 diberikan kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah.

Bantuan tunai secara one-off RM1,000 akan diberikan kepada isi rumah berpendapatan bulanan lebih RM4,000 hingga RM8,000. Baki pemberian tunai di bawah program BSH yang dilaksanakan akan dibayar pada Julai. Kepada individu bujang 21 tahun ke atas, bantuan tunai one-off RM500, berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000.

Menariknya dalam ucapan Muhyiddin diselitkan individu bernama Mak Cik Kiah yang menjadi viral dan trending sehingga kini.

Mak Cik Kiah seorang penjual goreng pisang yang duduk di PPR Desa Tun Razak yang suaminya ialah pesara kerajaan dan sekarang ini bawa Grab. Anak Mak Cik Kiah adalah peminjam PTPTN.

Pendapatan isi rumah Mak Cik Kiah di bawah RM4,000 sebulan.

Muhyiddin telah memberikan contoh berapa banyak seseorang individu akan dapat dengan Pakej Rangsangan Ekonomi sempena Covid-19. Keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464.

Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Mak Cik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM7,864.

Justeru, pakej Prihatin itu merupakan manifestasi kerajaan yang mengambil berat kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Kita sebagai rakyat hanya berperanan dalam mengekang Covid-19 dengan sentiasa di berada di rumah, kawal pergerakan dan bersama-sama berdoa agar virus ini akan dapat dihapuskan di Malaysia.

**Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus