Biodata Sultan Pahang keenam

No Image Caption
A
A
A

PEKAN - Berikut adalah biodata rasmi Sultan Pahang, Sultan Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang dikeluarkan Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang.

PENDIDIKAN AWAL

Baginda menerima pendidikan awal prasekolah di Sekolah Clifford, Kuala Lipis pada 1965, sebelum menyambung persekolahan di Sekolah Kebangsaan Ahmad, Pekan (1966–1969) dan Sekolah Rendah Kebangsaan St Thomas, Kuantan serta pengajian peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan St Thomas (1970–1974).

Baginda kemudiannya berangkat ke United Kingdom (UK) untuk meneruskan pengajian di Aldenham School, Elstree, Hertfordshire, UK dan Davies College, London, UK pada 1975–1977.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang bersama sama Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (kanan) dan Tengku Abdul Fadh Mua’dzam Shah Sultan Ahmad Shah (belakang). - Foto Bernama
Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang bersama sama Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (kanan) dan Tengku Abdul Fadh Mua’dzam Shah Sultan Ahmad Shah (belakang). - Foto Bernama

Pengajian baginda kemudiannya disambung dalam bidang ketenteraan iaitu di The Royal Military Academy Sandhurst, UK (1978 – 1979) dan pengajian di Worchester & Queen Elizabeth College, UK (1980 – 1981) sehingga baginda dianugerahkan Diploma In International Relations And Diplomacy.

KETENTERAAN

Komitmen baginda dalam bidang ketenteraan terserlah sehingga dilantik sebagai Leftenan Muda, Royal Military Academy, Sandhurst, England dengan menerima pentauliahan oleh Queen Elizabeth II pada tahun 1980.

Baginda juga merupakan Kapten bagi pasukan Kor Kavelri Diraja Malaysia, dan pada 1 Mei 1999 baginda dilantik menjadi Leftenan Kolonel, Rejimen 505 Askar Wataniah, dan menjadi Kolonel, Rejimen 505 Askar Wataniah pada 1 Jun 2000 serta menjadi Brigadier Jeneral, Komander Rejimen 505 Askar Wataniah pada 1 April 2004.

Artikel Berkaitan:

PELANTIKAN TENGKU MAHKOTA PAHANG

Pada tanggal 1 Julai 1975, baginda telah dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang dan kemudiannya telah dimasyhurkan pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar, Pekan.

PELANTIKAN PEMANGKU RAJA PAHANG

Pada usia baginda menjangkau 20 tahun, baginda telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang pada 28 April 1979 untuk tempoh lima tahun iaitu selama tempoh Seri Paduka Ayahanda Baginda, Sultan Haji Ahmad Shah menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-VII.

Pada 8 Disember 2016, baginda sekali lagi dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang sehingga 11 Januari 2019, iaitu setelah Jumaah Pangkuan Diraja Negeri memutuskan untuk melantik baginda sebagai Sultan Pahang yang keenam.

SUKAN

Baginda juga amat meminati bidang sukan dan ketika di England, baginda mengetuai pasukan Polo Diraja Pahang dalam perlawanan antarabangsa di Windsor Polo Club, England.

Seterusnya, baginda mengambil bahagian dalam pertandingan di Singapura, Filipina, Brunei, Argentina, Amerika Syarikat, Sepanyol dan Belgium.

Di peringkat negeri Pahang, baginda menubuhkan pasukan bola sepaknya sendiri yang dinamakan pasukan Sri Mahkota Alam di Pekan.

Baginda juga meminati sukan lain seperti golf, go-kart dan penerbangan ultralight.

NAMA ISTERI

Baginda mendirikan rumahtangga dengan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, 59.

Sultan Pahang Sultan Abdullah Ahmad Shah bersama Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika menghadiri raptai penuh Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang Keenam di Istana Abu Bakar. - Foto Bernama
Sultan Pahang Sultan Abdullah Ahmad Shah bersama Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika menghadiri raptai penuh Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang Keenam di Istana Abu Bakar. - Foto Bernama

ANAKANDA PUTERA DAN PUTERI

Perkongsian hidup baginda berdua dikurniakan dengan empat putera dan lima puteri; iaitu Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Yang Mulia Tengku Puteri Iman Afzan, Yang Mulia Puteri Ilisha Ameera, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Yang Mulia Tengku Puteri Ilyana, Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah, Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

JAWATAN DISANDANG (TERKINI)

Pada masa ini, baginda menyandang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang.

Selain itu, baginda juga merupakan Yang Dipertua Badan Kebajikan Kerabat-kerabat Negeri Pahang, Canselor Universiti Kuala Lumpur (UNIKL), Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Canselor DRB-HICOM University Of Automotive Malaysia.

Dalam arena sukan pula, baginda merupakan Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA dan pernah menyandang jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Baginda juga aktif dalam sukan hoki dengan memegang jawatan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia, Presiden Persekutuan Hoki Asia dan Ahli Lembaga Eksekutif Persekutuan Hoki Antarabangsa.

Dalam sukan polo pula, baginda merupakan Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA), Presiden Kelab Polo Diraja Pahang (RPPC) serta memegang jawatan presiden bagi beberapa sukan lain seperti Kelab Skuasy Pahang (PSC), Kelab Golf Diraja Pahang (RPGC) dan Kelab Menembak Diraja Pahang.

Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah menunjukkan bakat memasak roti canai ketika bersarapan bersama rakyat di sebuah restoran selepas menunaikan solat Subuh di Masjid Ash Shafie, Kotasas, Kuantan. - Foto Bernama
Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah menunjukkan bakat memasak roti canai ketika bersarapan bersama rakyat di sebuah restoran selepas menunaikan solat Subuh di Masjid Ash Shafie, Kotasas, Kuantan. - Foto Bernama

PENCAPAIAN

Komitmen baginda dalam bidang sukan terserlah bukan hanya di dalam negara malah turut aktif di persada antarabangsa.

Di antara pencapaian baginda di peringkat antarabangsa ialah sebagai Chairman of the Organising Committee of the 1997 FIFA World Youth Championship, member of the Organising Committee of 2003 FIFA Confederations Cup, Paris, Chairman of the Organising Committee of 2011 FIP Polo World Cup, Malaysia, Chairman of Organising Committee of 2012 FIH Congress, Kuala Lumpur, Chairman of 2015 AFC Asian Cup Australia dan Member of the Organising Committee For 2018 World Cup, Russia. - Bernama