Annuar tegur warga kota ambil sikap acuh tak acuh

Seorang penunggang motosikal dilihat melalui Jalan Petaling, Kuala Lumpur yang lengang semalam. - Foto Bernama
Seorang penunggang motosikal dilihat melalui Jalan Petaling, Kuala Lumpur yang lengang semalam. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menegur sikap warga kota yang dlihat tidak serius membantu kerajaan menangani penularan koronavirus (Covid-19).

Anuar berkata, tahap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan amalan jarak sosial warga kota masih rendah.

"Saya terima laporan dari ketua polis bahawa jumlah kenderaan masuk ke Kuala Lumpur sudah meningkat semula dan rondaan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan mendapati ramai lagi yang ambil mudah.

"Masih ada yang bawa bayi, anak kecil untuk bersiar-siar di tempat awam, masih ada juga dalam kalangan warga kota duduk beramai-ramai berkumpul di tempat-tempat tertentu," katanya pada Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan semalam.

Annuar berkata, perang Covid-19 belum tamat dan belum masanya untuk rakyat mengambil sikap tidak acuh ketika masih terdapat trend peningkatan kes di beberapa kawasan.

Pekerja pembersihan sedang sanitasi menggunakan teknik semburan di ibu negara.
Pekerja pembersihan sedang sanitasi menggunakan teknik semburan di ibu negara.

"Terdapat banyak kawasan Wilayah Persekutuan mula menunjukkan trend jangkitan, bukan hanya Sri Petaling dan Masjid Sri Petaling tetapi sudah ada beberapa kawasan dikategorikan sebagai zon merah dan zon kuning seperti Kepong dan Masjid India yang perlu diberi perhatian secara serius.

"Jika berlaku penularan dalam kawasan kepadatan tinggi seperti di sebuah kondo atau pangsapuri, kes boleh melonjak ke angka yang lebih besar. Harap ini tidak berlaku, patuhilah garis panduan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Annuar turut memaklumkan bahawa kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil beberapa langkah dalam usaha mengawal penularan Covid-19.

"Ia termasuk penggunaan dron untuk proses disinfeksi dan pembersihan selain meneruskan kaedah manual serta jentera besar di kawasan jalan raya dan tumpuan awam," katanya.