PDRM wujud lorong khas untuk petugas barisan hadapan

Asmawati meninjau kelancaran trafik di Plaza Tol Jalan Duta semalam.
Asmawati meninjau kelancaran trafik di Plaza Tol Jalan Duta semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewujudkan lorong khas untuk petugas barisan hadapan ketika sekatan jalan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelakkan kesesakan dan memudahkan orang ramai.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, dua lagi lorong diwujudkan untuk orang awam dan lori membawa bekalan keperluan harian.

“Ini merupakan inisiatif kami untuk memastikan aliran trafik terkawal dan bergerak lancar,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Difahamkan beberapa lokasi sekatan jalan sekitar Kuala Lumpur telah mempraktikkan tiga lorong berkenaan.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kepatuhan orang ramai terhadap PKP, Asmawati berkata, beliau mewakili PDRM menghargai orang ramai yang memberikan komitmen untuk tidak keluar rumah.

“Saya ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong usaha PDRM melaksanakan operasi sepanjang tempoh PKP.

“Kami juga terharu dengan ucapan dan kata-kata semangat kepada anggota yang terus bertugas 24 jam bagi memastikan arahan PKP ini diikuti,” katanya.

Setakat semalam, seramai 649 individu yang masih berdegil dan ingkar PKP ditahan semalam di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berganda berbanding 320 individu yang ditahan kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang masih berdegil serta melanggar PKP.