Banyak manfaat peroleh data percuma 1GB sehari

Seorang wanita sibuk melayari laman sesawang internet ketika tinjauan berkenaan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, hari ini. -Foto Bernama
Seorang wanita sibuk melayari laman sesawang internet ketika tinjauan berkenaan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Pemberian data internet berkelajuan tinggi percuma 1GB sehari mulai 1 April selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan boleh digunakan antara jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang sangat bermanfaat bukan sahaja kepada 'kaki internet' serta peminat permainan dalam talian, tetapi juga pelajar Institusi Pengajian Tinggi.

Inisiatif itu antara pakej khas yang akan ditawarkan dengan nilai RM600 juta yang juga sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat untuk membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Bagi Muhamad Syafiq Abd Rahman, 23, penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, dia memerlukan kira-kira 2GB setiap hari termasuk untuk mengikuti pembelajaran selama empat jam secara dalam talian susulan PKP.

"Selain itu, penuntut USAS menggunakan Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) untuk mendapatkan nota kuliah yang dikemaskini secara berkala mengikut minggu dan semester.

“Kami mencuba pelbagai medium dan yang paling mudah adalah ‘Live Facebook’ atau platform Google Zoom kerana boleh berkomunikasi. Jadi data internet percuma ini sememangnya meringankan beban kerana tidak semua mampu membeli atau 'top up' data setiap minggu,” katanya kepada Bernama.

Bagi peniaga tudung secara dalam talian, Noor Farahanim Abd Manan, 30, data 1GB percuma itu membantunya mempromosikan produk jualan memandangkan pergerakan agak terbatas, selain yakin dapat menarik lebih pelanggan kerana ramai yang tidak keluar bekerja.

"Selalunya saya akan ambil stok tudung baru di kedai kemudian tunjukkan kepada pelanggan setia. Tapi sekarang saya ambil kemudian 'update' di semua akaun media sosial serta dalam status WhatsApp.

“Agak terkejut ramai yang WhatsApp untuk membeli tetapi itulah data cepat habis, lagi-lagi bila kena hantar gambar, video kerana saya hanya mengambil pakej 8GB sebulan. Tapi bila dapat 1GB percuma sehari ini, lega dan seronok," katanya.

Artikel Berkaitan:

Data 1GB percuma itu turut memberi manfaat kepada suri rumah misalnya, Nurul Syuhadah Basri, 26, yang gemar menonton dan memuat turun resipi atau tutorial masakan serta video pembelajaran untuk anak lelaki yang berusia lima tahun.

"Tadika Kemas tutup, maka kena download lebih video untuk anak belajar sendiri dari rumah, kalau tidak nanti banyak dia lupa," katanya yang tinggal di Pasir Puteh di sini.- Bernama