Wakil rakyat potong elaun bantu Tabung Covid-19 UMNO Terengganu

Ahmad (kanan) menyerahkan elaun wakil rakyatnya kepada Rozi untuk disalurkan ke Tabung Covid-19 UMNO Terengganu.
Ahmad (kanan) menyerahkan elaun wakil rakyatnya kepada Rozi untuk disalurkan ke Tabung Covid-19 UMNO Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kesemua 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Terengganu menyumbangkan sebulan elaun wakil rakyat yang diterima mereka bagi membantu rakyat negeri ini yang terjejas susulan wabak pandemik koronavirus (Covid-19).

Elaun itu akan disalurkan ke Tabung Covid-19 UMNO Terengganu yang mula dilancarkan hari ini sebagai tanda keprihatinan dan rasa tanggungjawab kepada rakyat yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, idea penubuhan tabung itu dibuat setelah melihat rintihan rakyat yang melalui saat sukar ketika ini.

"Buat permulaan, saya bersama sembilan wakil rakyat UMNO akan memberikan sebulan elaun kami dengan jumlah keseluruhan setakat ini mencecah RM100,000.

"Bagi memastikan lebih ramai rakyat yang mendapat manfaat daripada tabung ini, kami mengalu-alukan orang ramai dan syarikat swasta untuk bersama-sama menyumbang. Tabung ini akan tamat sebaik sahaja PKP dihentikan," katanya selepas melancarkan Tabung Covid-19 UMNO Terengganu di Pejabat UMNO Terengganu di sini hari ini.

Turut serta, Setiausaha UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama jawatankuasa bagi menentukan pihak yang layak menerima bantuan dengan tumpuan diberikan kepada mereka yang berpendapatan rendah.

Katanya, bantuan yang akan diberikan pula dalam bentuk makanan keperluan asas seperti beras, susu dan minyak.

Artikel Berkaitan:

"UMNO di peringkat DUN juga turut menyalurkan sumbangan berupa makanan keperluan harian kepada mereka yang terjejas akibat PKP," katanya.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi Setiausaha Kerja UMNO Terengganu di talian (019-9847886), Setiausaha Penerangan UMNO Negeri (019-9561701), Pegawai Kewangan UMNO (019-9843783) dan Urusetia UMNO (09-6232779) atau menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB, 8006588666 (UMNO Negeri Terengganu).