Bunuh dua beradik

Amir dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Yan selepas tamat perbicaraan.
Amir dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Yan selepas tamat perbicaraan.
A
A
A

YAN - Seorang penganggur berdepan dengan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Yan hari ini atas pertuduhan membunuh dua beradik di Kampung Tengah, Kuala Sungai pada 8 Januari lalu.

Tertuduh, Amir Ariffin, 49, mengangguk faham sebaik pertuduhan membunuh Nurul Hanim Idris, 5 dan adiknya, Muhammad Hafiz, 2, dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan mengikut kertas pertuduhan, Amir yang memakai baju berwarna jingga dituduh membunuh Nurul Hanim di sebuah rumah Nombor 11, Kampung Tengah, Kuala Sungai antara pukul 11 malam hingga 12 tengah malam, 8 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membunuh Muhammad Hafiz di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pendakwaan bagi dua pertuduhan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, Amir turut berhadapan dengan satu lagi pertuduhan iaitu dengan sengaja mencederakan bapa saudara kepada dua beradik tersebut, Soberi Saad, 52, dengan menggunakan sebilah pedang juga di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya.

Pendakwaan bagi pertuduhan berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh menghadapi pertuduhan bunuh dan menetapkan 18 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Waheda Abd. Rahman sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Sinar Harian ada melaporkan kes pembunuhan kejam dua beradik yang ditetak dan dikelar oleh seorang lelaki ketika sedang tidur di Kampung Tengah, Kuala Sungai kira-kira pukul 11.45 malam.

Suspek yang juga berasal dari kampung yang sama dan juga merupakan rakan kepada bapa mangsa dua beradik berkenaan disahkan positif dadah jenis kanabis.