Arab Saudi pintas misil balistik

Misil balistik tersebut menyasarkan Riyadh yang kini dikenakan perintah berkurung 15 jam selama 21 hari untuk membendung penularan Covid-19. - Foto AFP
Misil balistik tersebut menyasarkan Riyadh yang kini dikenakan perintah berkurung 15 jam selama 21 hari untuk membendung penularan Covid-19. - Foto AFP
A
A
A

RIYADH - Pasukan Pertahanan Udara Diraja Arab Saudi memintas dua misil balistik yang dilancarkan ke Riyadh dan bandar Jizan yang terletak bersempadan Yemen lewat malam tadi.

Insiden itu turut menyebabkan dua orang awam cedera di ibu negara Saudi yang kini menguatkuasakan perintah berkurung separa untuk membendung penularan koronavirus (Covid-19).

Difahamkan, ia adalah senrangan besar yang pertama ke atas Saudi sejak pemberontak Houthi mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan menyasarkan dua kemudahan minyak Aramco di Abqaiq dan Khurais pada September lalu.

"Dua misil balistik itu dipintas ketika ia sedang menuju ke Riyadh dan Jizan. Tindak balas segera sistem pertahanan udara telah menyebabkan sebahagian serpihan objek tersebut jatuh di kawasan kejiranan di kedua-dua bandar terbabit," lapor Saudi Press Agency (SPA) memetik kenyataan jurucakap pasukan pertahanan awam.

Ketika kejadian itu, tiga letupan kuat turut menggegar Riyadh yang berdepan perintah berkurung selama 15 jam.

Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan itu walaupun tentera gabungan Arab diketuai Riyadh menuding jari menyalahkan pemberontak Houthi.

Serangan tersebut berlaku meskipun kesemua pihak yang bertelagah di Yemen menyokong gencatan senjata yang dicadangkan PBB untuk melindungi orang awam daripada ancaman Covid-19 pada Khamis lalu.

Riyadh, Sana'a dan kumpulan pemberontak di Yemen menyambut baik cadangan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres untuk langkah 'gencatan senjata segera' bagi mencegah penyebaran wabak tersebut di zon konflik bertepatan dengan ulang tahun kelima perang saudara tercetus di negara tersebut. - AFP

Artikel Berkaitan: