X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Enam nelayan dilaporkan hilang ditemukan selamat

Bot nelayan Kelas C yang dinaiki mangsa ditemukan selamat di Perairan Pahang, petang, semalam ( Foto: Ehsan APMM Terengganu).
A
A

KUALA TERENGGANU - Enam nelayan dari Kuala Nerus yang dilaporkan hilang selepas keluar ke laut sejak 20 Mac lalu lalu ditemukan selamat di perairan Pahang, petang semalam.

Kesemua mangsa iaitu Mohd Yusof Awang, 45, Abdul Gani Sulong, 60, Awang Salleh, 40, Anuar Shafie, 30 dan dua awak-awak warga Thailand ditemukan selamat oleh bot nelayan yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 5.30 petang.

Sebelum itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang menerima maklumat memaklumkan bot nelayan Kelas C (bot bubu) dinaiki mereka dikesan berada di posisi 44 batu nautika sebelum mengarahkan Bot Maritim Penggalang 19 yang sedang membuat pemantauan ke lokasi pada jam 3.35 petang.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, bagaimanapun setibanya pada jarak lebih kurang enam batu nautika dari lokasi dimaklumkan, bot berkenaan ditemukan sedang ditunda oleh sebuah bot nelayan yang turut serta dalam pencarian untuk dibawa masuk ke Jeti Kuala Kemaman, Terengganu.

"Siasatan awal, mangsa memaklumkan bot dinaiki mengalami kerosakan enjin dan dihanyutkan sehingga ke perairan Pahang.

"Selepas penemuan mereka disahkan, kami menutup operasi SAR sepenuhnya pada jam 7 malam semalam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Salah seorang nelayan yang ditemukan selamat sedang disoal siasat oleh anggota APMM bertugas sejurus tiba di Jeti Kuala Kemaman, Terengganu (Foto: Ehsan APMM Terengganu).
Salah seorang nelayan yang ditemukan selamat sedang disoal siasat oleh anggota APMM bertugas sejurus tiba di Jeti Kuala Kemaman, Terengganu (Foto: Ehsan APMM Terengganu).

Katanya, antara aset terlibat sepanjang tempoh SAR diaktifkan termasuk bot Maritim Terengganu (KM Bagahak), bot Maritim Pahang (Penggalang 19 dan BM Kilat 49), PA 52 PPM Kuantan dan tiga buah bot nelayan tempatan.

Muhammad Suffi turut berterima kasih kepada komuniti nelayan dan juga aset daripada agensi lain yang turut serta dalam operasi SAR ini.

"Dalam masa sama, kami menyeru orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan. Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999," katanya.

Semalam, Sinar Harian ada melaporkan APMM Terengganu mengaktifkan operasi SAR enam nelayan yang tidak pulang dan gagal dikesan selepas lapan hari keluar ke laut.

Pengarahnya berkata, pihaknya dimaklumkan kesemua nelayan ini keluar ke laut pada 20 Mac lalu dan kali terakhir mereka dapat dihubungi melalui radio pada Rabu lalu memaklumkan berada di perairan Pahang.

[ARTIKEL BERKAITAN] - APMM aktifkan SAR cari enam nelayan hilang di laut


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!