Patriot digesa henti pertikai usaha kerajaan: MCCF

HALIM
HALIM
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) digesa tidak mempertikaikan sebarang usaha kerajaan dalam membantu rakyat ketika negara berdepan penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak berkata, seharusnya Patriot yang terdiri daripada bekas pegawai tentera dan polis perlu menumpukan kepada objektif penubuhan mereka.

Halim yang juga bekas komando polis menegaskan, adalah lebih baik Patriot yang mempunyai banyak pengalaman berkaitan keselamatan negara berjuang menanamkan semangat jati diri dan cintakan negara serta menjaga kebajikan pesara tentera dan polis supaya lebih diberikan perhatian oleh kerajaan.

"Patriot sewajarnya menumpukan soal kebajikan petugas barisan hadapan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang bertungkus lumus, siang dan malam, hujan dan panas, dalam memastikan orang ramai terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

"Tindakan Patriot yang mempersoalkan bagaimana kerajaan memperoleh sumber dana melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion amat tidak wajar dan mengecewakan," katanya melalui kenyataan hari ini.

Kelmarin, Patriot melalui Presidennya, Briged Jeneral Datuk Mohamed Arshad Raji dilaporkan mempersoalkan dana pakej yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, MCCF turut mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Patriot.

"Pihak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri perlu menyiasat dari mana sumber kewangan Patriot dan mengambil tindakan tegas serta membatalkan penubuhan Patriot yang telah memalukan semua bekas perajurit dan pasukan keselamatan," katanya.

Artikel Berkaitan: