Kementerian Alam Sekitar pantau pencemaran sepanjang PKP

Pemantauan dron di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Semeling.
Pemantauan dron di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Semeling.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kementerian Alam Sekitar akan terus memantau kelestarian alam sekitar dengan memastikan tidak berlaku pencemaran alam sekitar, khususnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Timbalan Menteri Alam Sekitar, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, pihaknya akan terus komited menjalankan penguatkuasaan bersepadu secara berterusan bagi memastikan negara tidak menjadi tempat lambakan sisa plastik haram selain mencegah pencemaran yang berpunca dari kilang kitar semula plastik haram.

Menurutnya, ini termasuk pemantauan terhadap pembakaran terbuka seperti yang berlaku di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Semeling, sebelum ini.

Dr Ahmad Masrizal
Dr Ahmad Masrizal

"Rakyat dan semua pihak perlu lebih peka kerana bermula April hingga Julai ini, negara akan mula berhadapan dengan situasi panas berjerebu.

"Semua pihak perlu mainkan peranan sebaik mungkin agar tidak melakukan sebarang aktiviti yang memudaratkan lagi persekitaran negara, " katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Masrizal berkata, kebakaran di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Semeling yang terletak di Bedong mencemarkan udara persekitaran selain mengeluarkan bau busuk sehingga penduduk membuat aduan berhubung kes berkenaan.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Sungai Petani pantas bertindak dan menyiasat serta mengenal pasti sumber pencemaran itu selepas penduduk sekitar Sungai Petani membuat aduan berhubung bau pembakaran yang berpanjangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bau busuk itu bukan berpunca dari kilang kitar semula plastik seperti yang sering diadu penduduk kerana kilang berkenaan sudah tidak beroperasi.

"Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Semeling kerap kali terbakar dan dipadamkan oleh pihak Bomba beberapa kali sebelum ini. Pada masa ini, tapak tersebut masih berasap," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Tapak lupus sampah terbakar, orang ramai tak perlu panik

Ahmad Masrizal berkata, JAS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas sekiranya pihak yang terlibat masih berdegil.

"JAS telah arahkan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) memastikan operator tapak menimbus lapisan tanah di permukaan tapak pelupusan sampah itu menghapuskan asap termasuk bau," katanya.

Menurutnya, JAS cawangan Sungai Petani akan menjalankan rondaan dan pemantauan termasuk menggunakan dron sekitar Sungai Petani bagi memastikan tiada kilang kitar semula plastik beroperasi.

"Sebarang aduan berkaitan pencemaran alam sekitar akan disiasat dan diambil tindakan segera oleh pegawai JAS," katanya.

Pada 20 Januari lalu, media melaporkan kira-kira 1.2 hektar daripada lebih empat hektar keluasan tapak pelupusan sampah Semeling terbakar.

Ia disyaki akibat perbuatan khianat susulan penahanan seorang lelaki berusia 35 tahun di lokasi kejadian ketika sedang membuat pembakaran sampah bagi mendapatkan tembaga wayar.