X

Kindly register in order to view this article
!

[LAPORAN KHAS] Strawberi Cameron terbiar busuk

Syed Abdul ketika memetik buah strawberi di ladang miliknya di Cameron Highlands.
A
A

SHAH ALAM - Angkara penularan wabak virus pembunuh Covid-19 yang melanda negara pada ketika ini, 180 orang pekebun bumiputera di Cameron Highlands, Pahang berdepan kerugian hampir RM10 juta seminggu dengan sebahagian sayur, bunga dan buah rosak begitu sahaja di depan mata.

Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abdul Rahman berkata, 62 pekebun yang terdiri daripada masing-masing 30 pekebun sayur dan strawberi serta dua pekebun bunga berdepan kesulitan bermula proses menuai hasil sehinggalah proses penghantaran.

Katanya, dalam tempoh 11 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua pekebun berdepan kesukaran untuk menuai hasil ladang kerana kurang pekerja.

Disebabkan itu, katanya, sayur-sayuran hanya dibiarkan tanpa dituai dan sayur-sayur yang dituai pula sukar untuk dipasarkan kerana kurang permintaan daripada pemborong.

“Situasi itu menyebabkan sayur terpaksa dimusnahkan. Kesulitan yang kami hadapi tidak dapat digambarkan. Sayuran terpaksa dibiarkan rosak di depan mata,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

INFO anggaran jumlah pekebun dan keluasan pertanian di Cameron Highlands
INFO anggaran jumlah pekebun dan keluasan pertanian di Cameron Highlands

Syed Abdul yang turut terlibat dalam penanaman strawberi berkata, pada ketika ini beliau tidak tahu bagaimana untuk menyimpan sebahagian besar tuaian buah miliknya kerana kekurangan peti simpanan dingin.

“Banyak juga orang Melayu buat tanaman strawberi. Semuanya tidak dapat dijual kerana ketiadaan pelancong. Tuaian pula banyak tetapi sukar untuk disimpan.

“Jadi terpaksalah kami biarkan buah itu membusuk. Yang boleh disimpan akan digunakan untuk produk berasaskan strawberi seperti jem dan kordial,” katanya.

Bagi 118 ahli persatuan yang terlibat dalam industri produk hiliran di 15 pusat agropelancongan di Cameron Highlands, Syed Abdul berkata, mereka turut berdepan kesulitan yang sama.

“Sebanyak 15 pusat agro pelancongan di sini kini ditutup. Pada musim cuti sekolah biasanya mereka meraih purata pendapatan RM34,000. Kalau bukan cuti sekolah pula dalam RM1,000 sehari.

“Cuma apa yang saya khuatir, selepas 14 April, industri di pusat-pusat agro pelancongan ini nak pulih balik, sukar sedikit. Bagaimanapun, Agro Bank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional telah memberikan kelonggaran kepada peminjam memberikan sedikit nafas buat mereka,” katanya.

Syed Abdul turut bersimpati dengan nasib ahli-ahli persatuannya yang terlibat dalam industri penginapan seperti homestay dan calet.

“Mereka pun hadapi masalah. Tiada sumber pendapatan. Selepas PKP datang pula bulan Ramadan. Jadi saya memang khuatir dengan nasib semua orang,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!