Rakyat perlu tabah tangani wabak

No Image Caption
A
A
A

Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memanjangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu lagi sememangnya tidak terlalu mengejutkan.

Dengan menguatkuasakan PKP bermula daripada 18 hingga 31 Mac kemudian dilanjutkan sehingga 14 April depan bermakna ia akan menyebabkan rakyat terpaksa patuhi arahan kerajaan ini hampir selama sebulan.

Dalam Lidah Pengarang Sin Chew Daily, akhbar ini meminta semua lapisan masyarakat di negara kita agar tabah menghadapi dugaan ini dan bersama membantu kerajaan memastikan wabak ini tidak menular.

Akbar ini berkata, buat masa ini, langkah yang paling berkesan untuk mencegah virus Covid-19 daripada terus merebak ialah seperti apa yang telah dilakukan China sebelum ini.

“Sebelum menemui vaksin, seluruh dunia telah menyaksikan bagaimana langkah yang dilakukan China untuk memerangi Covid-19. Negara itu menguatkuasakan larangan rakyatnya keluar rumah dan kuarantin kepada semua mangsa yang dijangkiti virus ini.

“Selain itu, China turut mendidik rakyatnya dengan meningkatkan tahap kebersihan seperti kerapkali membersih tangan, memakai topeng muka dan menjaga kebersihan ketika makan dan minum.

“Inilah antara amalan-amalan yang perlu diikuti oleh rakyat di negara kita bagi menyekat virus Covid-19 daripada menular,” kata akhbar ini.

Untuk mencapai sifar kes kematian dan jangkitan, tulis akhbar ini lagi, sokongan dan kerjasama daripada seluruh rakyat amatlah diperlukan.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan dan pihak polis telah berkali-kali menasihatkan kita duduk di rumah dan jangan meninggalkan rumah tanpa sebarang sebab.

“Dengan mengurangkan pergaulan, ia adalah salah satu peluang untuk kita mencapai sasaran sifar kematian dan jangkitan,” kata akhbar ini.

Sementara itu, Lidah Pengarang Nanyang SiangPau menganggap keputusan kerajaan memanjang tempoh PKP sehingga 14 April depan adalah satu keputusan yang bijak.

“Walaupun keputusan kerajaan ini mungkin tidak disenangi sesetengah orang, tetapi bagi majoriti rakyat, cara ini pasti berkesan bagi mengelakkan kes ini menjadi lebih buruk,” kata akhbar ini.

Langkah melanjutkan penguatkuasaan PKP juga akan membantu Kementerian Kesihatan berusaha memastikan anggaran badan kajian JP Morgan yang menjangkakan terdapat 6,300 kes jangkitan positif Covid-19 menjelang pertengahan April tidak menjadi kenyataan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian sudah mengambil maklum tentang ramalan itu tetapi percaya ia dapat dihalang daripada berlaku.

“Tidak kira tempoh PKP dilanjutkan mempunyai kaitan dengan kajian yang dibuat JP Morgan itu atau tidak, keputusan dibuat oleh Perdana Menteri itu sememangnya perit untuk diterima. Namun adalah dipercayai, keputusan itu akan terbukti tepat pada akhirnya.

“Kita berharap pihak kerajaan apa jua tindakan dan langkah penguatkuasaan yang diambil mestilah mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” jelas akhbar Cina ini lagi.

*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian