X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19 kukuhkan nilai bangsa

A
A

Malaysia berada dalam perang. Malaysia berada dalam krisis yang paling besar abad ini. Malaysia dilanda malapetaka yang tidak pernah diimpikan atau dirasai akan berlaku.

Rutin harian seseorang yang pergi bekerja, bermesyuarat, riadah, bersukan, makan, berlepak di kedai mamak, pasar raya atau panggung wayang sudah berubah sekelip mata. Cuma aktiviti atas talian seperti kumpulan WhatsApp, Facebook, Instagram dan Twitter meningkat.

Siapa jangka 17 Mac 2020 merupakan hari terakhir kehidupan yang dinikmati selama ini tanpa sempat bersyukur ke atasnya. Segalanya terhenti. Kehidupan berubah. Isyaratnya jelas: [email protected] adalah ‘pelindung’ kesejahteraan hidup dan yang lain hanya sementara.

Covid-19 yang melanda seluruh dunia, kini juga Malaysia. Penyakit ini luar biasa. Ia tidak mengenal agama, etnik, ritual, kepercayaan, gender mahupun fahaman politik.

Jangan disalahkan gerakan ijtimak tabligh kerana mereka juga tidak tahu kehadirannya. Ia adalah musuh yang tidak diketahui ada di mana. Kita perlu keluar daripada melabel, stereotyping dan bersifat prejudis.

Covid-19 juga tidak kenal persempadanan manusia hatta dunia. Begitu juga dengan institusi atau struktur sosial mahupun sistem politik, budaya, norma, dan nilai manusia. Ia adalah Perang Dunia Ketiga melalui rangkaian jaringan globalisasi ciptaan manusia.

Bermula di Wuhan, kini ada di Tawau. Tatkala pembersihan di Wuhan, di Malaysia panik. Ia membawa dunia bersama, baik China, Amerika Syarikat, India, Indonesia, Australia, Afrika, Singapura, Britain dan Malaysia. Negara dunia pertama berada pada paras yang sama dengan negara dunia membangun dan dunia ketiga.

Kita perlu berhadapan dengan pandemik ini. Ia bukan soal mencari kesilapan, kesalahan atau mengapa berlaku tetapi apa boleh dilakukan sekarang. Bagaimana kita boleh bertindak balas dan pastinya bersifat ‘kolektif’.

Rantaian pandemik ini mesti diputuskan dan bukan dibiarkan merebak. Ikatannya juga perlu dihentikan. Pergerakannya terlalu pantas dan agresif sifatnya sehingga apabila sedar kita positif, virus ini sudah membunuh.

Keganasan virus ini tidak mengenal kedudukan, pangkat, jawatan atau kelas sosial. Ia kenal manusia dan manusia sahaja yang boleh menghentikannya dengan pengukuhan nilai dalam diri mereka. Kukuh nilai, kukuh negara kerana ia adalah solidariti bersama. Duduk di rumah, cuci tangan dan laksanakan jarak sosial, rayu semua.

Kita perlu radikal untuk mengatasinya. Ada yang menyindir, ada yang menentang Perintah Kawalan Pergerakan dan bertindak balas.

Di manakah nilai moral ke arah pembentukan sahsiah, karakter dan keperibadian budaya tinggi apabila ada isu diperlekehkan, ada yang menjadikannya isu perkauman dan tidak kurang juga menghina, aib dan memalukan pemerintah.

Berita palsu berlegar sehingga masing-masing keliru. Yang mana benar, yang mana menipu. Penyebaran berita dan informasi palsu memburukkan lagi situasi yang sedang dihadapi negara hari ini.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan tidak menghalang orang ramai menderma darah ketika tinjauan di Pusat Darah Negara. Foto: Bernama
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan tidak menghalang orang ramai menderma darah ketika tinjauan di Pusat Darah Negara. Foto: Bernama

Pertahanan menyeluruh tidak mengenal ideologi politik sesiapa di sini tetapi menguji tahap kematangan untuk turut membantu kerajaan walau berbeza pandangan. Rakyat akan mengagumi pemimpin yang akalnya tinggi dengan dilembutkan oleh perwatakan diri, bukannya beremosi sehingga membunuh diri sendiri.

Ketepikan pendirian peribadi tetapi tampil membantu bersama akan dihargai baik daripada parti pembangkang, aktivis atau mana-mana individu sekali pun.

Bagi anggota pemerintah, anda perlu bersama dengan Perdana Menteri waktu ini. Bertanggungjawablah dan biar kita ambil keputusan yang bersifat ‘kepunyaan’ dalam perang ini yang boleh diatasi segera jika masing-masing bersama.

Pembuat keputusan perlu berani membuat keputusan walau tidak popular dan masyarakat perlu akur ia penting untuk membina semula tanah air ini. Bersedialah untuk dikuarantin untuk dua minggu lagi mahupun dua bulan.

Keselamatan awam perlu diutamakan. Kita perlu korban dan kompromi untuk ‘tawaran baru masa depan negara’ pasca-Covid-19 nanti.

Seluruh dunia mengambil keputusan drastik; menutup aktiviti awam menjadi keutamaan, perkhidmatan kurang berkepentingan dihentikan sementara waktu. Maka kita mula kenal perkataan kuarantin, essentials, frontliners dan moratorium.

Ramai yang berkorban dan bersengkang mata untuk kita, tidak ada kata untuk pekerja hospital, keselamatan dan penjawat awam serta sukarelawan. Siapa kita tanpa mereka. Pejuang sebenar bukan anda atau kita, tetapi mereka yang bergelut dengan titisan terakhir untuk menyelamatkan nyawa.

Berhadapan dengan pandemik global, kita memerlukan pendekatan terdesak dalam keadaan memaksa malahan jaringan hubungan baharu antara pemimpin, rakyat, perkhidmatan awam, institusi sosial dan tokoh peniaga penting sekarang. Kukuh nilai warga, kukuh negara.

Pengukuhan nilai diri, keluarga dan masyarakat serta komuniti akan membolehkan kita melepasi kedudukan kronik. Bantulah yang memerlukan, jadilah ‘Masyarakat Penyayang’.

Kesihatan awam berhadapan dengan situasi kecairan nilai. Kesihatan tidak boleh dipolitikkan atau dibolosi oleh pemikiran jumud. Pelbagai pendekatan mesti dibenarkan diambil dan dicuba. Tanggungjawab [email protected] adalah kolektif dan bersepadu.

‘Just stay at home’, kata Perdana Menteri. Kita berada di bawah bumbung atau atap yang sama bernama Malaysia. “KitaJagaKita” kerana ia adalah tanggungjawab bersama dengan pengukuhan nilai untuk kepentingan tanah air.

Butang ‘reset’ perlu ditekan untuk menzahirkan ‘kehidupan bersama’ yang selama ini diambil mudah kerana manusia mula menjadi individualistik dan materialistik serta isolisasi dengan diri sendiri di alam maya.

Ada yang lupa keluarga, ada juga tidak mengenal jiran apatah lagi kawan dan sahabat. Kita boleh bergerak bersama jika nilai keinsanan dan kemanusiaan dipertahankan. Corvid19 mengajar pengertian ‘insan’. Maha pencipta menguji makhluknya kini.

Hari ini, bumi yang sering dipersalahkan kerana bencana cuaca panas dan banjir melihat ia kosong. Kosong di luar tetapi di dalamnya melihat bagaimana keberikatan dibina semula kepada yang alpa dan terhakis normanya sebelum ini.

Kini, kebergantungan antara satu sama lain akan membina semula nilai dalam kalangan ahli masyarakat dari pandemik Covid-19 ini.

Kukuh nilai warganya, kukuh negara dan masa depannya. Namun, ia belum selesai.

*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus