Pusat setempat bagi laksana perintah

A
A
A

Masyarakat Islam di Malaysia kini bukan lagi tinggal di Malaysia dan berkahwin sesama sendiri sahaja. Acapkali kita dapat saksikan perkahwinan berbeza ras antara orang Islam di Malaysia dengan bangsa lain.

Masyarakat pula semakin lama semakin kompleks dan keperluan masyarakat menjadi semakin sukar untuk dipenuhi. Pemerolehan harta tidak lagi dihadkan di dalam Malaysia sahaja tetapi di segenap pelusuk dunia.

Dalam konteks perkahwinan antarabangsa ini timbul pelbagai masalah jika perkahwinan yang dilangsungkan itu tidak berpanjangan.

Antara isu yang akan timbul ialah kewarganegaraan anak-anak hasil perkahwinan, hak jagaan dan agama anak, pengagihan harta sepencarian yang diperoleh di Malaysia dan negara lain serta banyak lagi.

Walaupun ada mahkamah negara lain seperti Australia yang agak terbuka menerima perintah dari Malaysia tetapi banyak negara lain yang masih enggan mengiktiraf perintah tersebut atas alasan Malaysia tidak menjadi penandatangan kepada beberapa konvensyen antarabangsa.

Alasan ini telah mengkesampingkan hak yang sepatutnya dinikmati selepas sesuatu perintah dikeluarkan. Keengganan atau kegagalan melaksanakan perintah tersebut memberi implikasi besar kepada kedaulatan undang-undang negara dan menghakis kepercayaan rakyat kepada mahkamah.

Undang-undang negara ketika ini menghalang warganegara Malaysia mempunyai dwi-kerakyatan berbeza dengan beberapa negara lain di Eropah dan Timur Tengah.

Dalam banyak keadaan atas alasan tertentu ibu bapa ‘perkahwinan antarabangsa ‘ ini masih mendaftarkan dwi-kewarganegaraan bagi anak-anak mereka walaupun sedar ia bertentangan dengan Perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

Hal yang demikian menyebabkan apabila berlaku pertelagahan antara kedua ibu bapa sukar dikesan anak-anak tersebut dibawa ke mana kerana mereka bebas menggunakan pasport mereka yang berlainan.

Mekanisme

Lebih memeritkan lagi undang-undang yang berlainan juga mungkin terpakai kepada anak-anak ini. Berurutan daripada kewarganegaraan anak ini pula timbul isu agama dan hak jagaan anak.

Bagaimana pula dengan harta sepencarian dan nafkah bagi isteri dan anak-anak ini. Permasalahan untuk melaksanakan perintah ini sebenarnya harus diselesaikan segera kerana ia membabitkan anak kecil yang memerlukan pembelaan setiap hari.

Isu harta yang diperolehi semasa perkahwinan juga perlu diselesaikan dengan baik apatah lagi sekiranya harta tersebut berada di luar negara sama ada di negara salah seorang pihak kepada perkahwinan ataupun negara ketiga.

Undang-undang terhadap harta sepencarian mungkin berbeza dari Malaysia malah kebanyakan negara Arab di Timur Tengah pula tidak mengiktiraf konsep harta sepencarian yang diperolehi semasa perkahwinan kerana konsep harta sepencarian ini hanyalah berdasarkan uruf masyarakat Nusantara sahaja.

Mungkin tidak terlambat untuk penulis mencadangkan suatu mekanisme setempat antara kerajaan diwujudkan di mana suatu perintah dari suatu negara diiktiraf di negara lain. Hubungan diplomatik yang baik antara negara perlu diperkukuh bagi membolehkan kerjasama sebegini direalisasikan.

Pusat setempat ini akan mendaftarkan suatu perintah dan dilaksanakan oleh negara yang menerima perintah tersebut. Dengan cara ini segala birokrasi dapat dipermudahkan.

Setakat ini terdapat suatu undang-undang iaitu Akta Penguatkuasaan Perintah Bersaling 1958 yang memberi kuasa melaksanakan perintah dari negara asing tertentu yang kebanyakannya adalah negara Komanwel.

Namun begitu akta ini tidak pula terpakai kepada Mahkamah Syariah di Malaysia. Mahkamah yang disebut di dalam akta tersebut adalah Mahkamah Tinggi Sivil sahaja. Inilah antara perkara yang mengekang pelaksanaan perintah Mahkamah Syariah.

Walaupun begitu likunya bukan semudah yang disangka. Pindaan kepada akta yang disebut di atas dengan memasukkan Mahkamah Syariah mungkin tidak dapat direalisasikan kerana Mahkamah Syariah selain dari Wilayah Persekutuan berada di bawah bidang kuasa negeri-negeri.

Timbul persoalan sama ada undang-undang Persekutuan boleh memberikan kuasa tersebut kepada Mahkamah Syariah pula. Penulis berpandangan isu ini agak kompleks juga dan perlu penelitian yang amat matang di dalam merumus formula penyelesaiannya.

* * Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia