APEC perlu hapus sekatan dagangan untuk tangani cabaran Covid-19

Datuk Rohana Mahmood. -Foto Sumber Internet
Datuk Rohana Mahmood. -Foto Sumber Internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kalangan ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu menolak semua sekatan perdagangan baharu sepanjang tahun ini dan sebaliknya bersetuju terhadap langkah-langkah konkrit mengurangkan dasar perlindungan demi memerangi cabaran susulan penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), Datuk Rohana Mahmood dalam satu kenyataan media hari ini berkata, apa yang lebih penting sekarang adalah usaha untuk menyelamatkan nyawa.

Beliau turut menegaskan, kerjasama rentas rantau membabitkan pengetahuan dan mekanisme memerangi impak kesihatan dan mengurangkan natijah ekonomi yang serius dalam jangka pendek, juga sama pentingnya.

Malah katanya, ABAC telah mengutuskan surat kepada Menteri-Menteri Perdagangan serta Luar APEC dan menggesa mereka untuk menerajui usaha menghapuskan sekatan perdagangan membabitkan keperluan penting bagi memerangi pandemik itu, termasuk peralatan perubatan, ubat-ubatan dan kelengkapan asas perlindungan diri seperti sabun, pembasmi kuman dan peralatan perlindungan diri.

“Sejajar usaha itu, kalangan ekonomi ini juga perlu melancarkan perdagangan bekalan kritikal ini dengan mempermudah dan mempercepat prosedur sempadan selain melonggarkan peraturan bagi membenarkan pekerja penting, termasuk profesional perubatan merentasi sempadan untuk berkhidmat di kawasan yang amat memerlukan.

“Berdasarkan kepentingan itu, ekonomi APEC juga perlu berkongsi pengalaman masing-masing bagi menangani pandemik itu, saling bertukar data dan penyelidikan serta bekerjasama dalam langkah kesihatan umum," katanya.

Beliau berkata, impaknya terhadap pekerja, perniagaan dan rantaian bekalan juga terjejas teruk.

“Kita bimbangkan khususnya membabitkan perniagaan kecil, kalangan yang bekerja sendiri dan mereka dalam ekonomi tidak rasmi serta tidak mempunyai persiapan secukupnya untuk mengharungi impak itu.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, kita menggesa kalangan menteri-menteri terbabit untuk berkongsi idea dan bekerjasama membabitkan pendekatan untuk menangani peningkatan pengangguran yang mendadak, kebankrapan dan cabaran lain perniagaan membabitkan mudah tunai, kredit dan pembayaran cukai.

“Komuniti kita yang paling lemah ini perlu mempunyai akses kepada makanan dan barangan keperluan isi rumah lainnya. Perniagaan kita juga perlu mempunyai keyakinan untuk melabur dan membangunkan semula ekonomi ini. Sebarang bentuk dasar perlindungan itu hanya menyekat usaha pemulihan ini,” tegas beliau.

Menerusi penekanan kesemua usaha, ABAC turut menggesa ekonomi-ekonomi APEC memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi dan kebersambungan digital agar dapat bekerjasama merentasi ekonomi dan membolehkan kegiatan ekonomi itu diteruskan.

“Akses terhadap infrastruktur digital yang berdaya tahan seperti jalur lebar, termasuk kalangan ekonomi sedang pesat membangun juga amat penting dan begitu juga meminimumkan sekatan aliran data merentasi sempadan,” katanya.

Rohana berkata, tiada kejadian awal membabitkan penutupan global sepenuhnya berdasarkan apa yang dialami sekarang, untuk dijadikan rujukan.

“Tiada sebarang buku panduan untuk membantu kita pulih. Justeru, adalah kritikal bagi ekonomi APEC untuk bekerjasama menangani cabaran ini serta merancang pembukaan semula sempadan dalam masa terdekat ini,” katanya.- Bernama