Guru tadika hasilkan perisai muka, pelindung kepala

Pemilik Tadika Bestari Genius Salmiah Ahmad memakai perisai muka buatan sendiri (DIY) yang dihasilkannya untuk kegunaan barisan hadapan di Klinik Kesihatan Kuah. -Foto Bernama
Pemilik Tadika Bestari Genius Salmiah Ahmad memakai perisai muka buatan sendiri (DIY) yang dihasilkannya untuk kegunaan barisan hadapan di Klinik Kesihatan Kuah. -Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI- Terkesan dengan pengorbanan petugas perubatan di saat negara dilanda wabak Covid-19, seorang guru tadika tampil secara sukarela menghasilkan perisai muka dan penutup kepala untuk kegunaan 'barisan hadapan' di Klinik Kesihatan Kuah.

Salmiah Ahmad berkata, beliau terpanggil menawarkan kemahiran dimilikinya untuk menghasilkan perisai muka dan penutup kepala buatan sendiri itu sebagai sebahagian peralatan alat pelindung diri (PPE) yang amat diperlukan ketika ini.

Katanya idea membuat perisai muka itu timbul selepas melihat perkongsian di media sosial, dan secara kebetulan ada waris murid di tadika miliknya merupakan ‘orang kuat’ di sebalik usaha memerangi Covid-19 di Langkawi.

"Sebelum menghasilkan perisai muka ini, saya dapatkan nasihat petugas kesihatan berkenaan saiz yang sesuai. Bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan perisai muka ini terdiri daripada plastik 'laminating film’, span, pengokot, pita pelekat dan getah pakaian.

"Setiap satu perisai muka mampu disiapkan dalam tempoh hanya lima minit," katanya kepada Bernama.

Salmiah yang turut dikenali dengan panggilan 'Teacher Sal' dalam kalangan murid serta ibu bapa tadika tersebut berkata, beliau telah menghasilkan lebih 40 perisai muka sejak 25 Mac.

Melihat kepada kejayaan serta sokongan diterima apabila menghasilkan perisai muka, kreativiti Teacher Sal terus berkembang dan beliau kemudian turut menjahit penutup kepala, sebahagian daripada PPE yang juga sangat diperlukan petugas kesihatan.

"Pihak Klinik Kesihatan Kuah bekalkan 10 cadar pakai buang, saya boleh jahit dan hasilkan 40 penutup kepala daripada bahan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bercerita lanjut, Salmiah berkata, usahanya itu turut mendapat sokongan ibu bapa dan waris di tadika miliknya apabila mereka menginfaq RM5 daripada yuran bulanan tadika.

"Ini sumbangan saya buat petugas perubatan dalam memerangi Covid-19, perkara ini juga mampu dilakukan oleh masyarakat di luar sana. Selagi ada permintaan dan bahan yang mencukupi saya akan terus membuat perisai muka dan pelindung kepala ini untuk kegunaan petugas kesihatan," katanya. - Bernama