Covid-19: Dewan MAEPS dijadikan pusat rawatan, kuarantin

Dewan di MAEPS telah diubah suai untuk dijadikan sebagai pusat rawatan dan kuarantin pesakit wabak Covid-19. -Foto KKM
Dewan di MAEPS telah diubah suai untuk dijadikan sebagai pusat rawatan dan kuarantin pesakit wabak Covid-19. -Foto KKM
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan dewan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) telah diubah suai untuk dijadikan sebagai pusat rawatan dan kuarantin pesakit wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu diambil sebagai persediaan bagi menampung pesakit itu nanti.

Menurutnya, secara asasnya, kapasiti di hospital sedia ada mencukupi bagi menampung pesakit yang dijangkiti wabak itu.

"Kalau kita lihat dari segi kesiapsiagaan KKM, kita sudah peruntukan sebanyak 3,400 katil dan kita tambah dengan Institut Latihan KKM sebanyak 5292 katil.

"Jadi dengan kegunaan persiapan katil kita rasa memadai tapi bab kata orang kita sedia untuk situasi lebih buruk.

"Persediaan yang lebih itu lebih baik daripada tiada persediaan," katanya pada sidang media di KKM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, secara keseluruhan, dewan MAEPS itu mampu menempatkan sebanyak 600 katil iaitu 400 di Hall A dan 200 di Hall B.

Katanya, tempat itu akan diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan kerjasama (KKM).

Artikel Berkaitan:

"Mungkin ini (kegunaan Dewan MAEPS) boleh dijadikan model untuk gunakan semua stadium tertutup jika perlukan tempat (untuk rawatan dan kuarantin)," katanya.

KKM dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi kementerian berkata, penyediaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 sedang giat dijalankan dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkesempatan hadir melihat persiapannya hari ini.

"Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 ini bakal memuatkan 600 katil secara keseluruhannya.

"Ia bertujuan menempatkan pesakit-pesakit positif Covid-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan.

"Penyediaannya adalah sebahagian daripada langkah kesiapsiagaan KKM dalam menghadapi kemungkinan peningkatan jumlah pesakit Covid-19," katanya hari ini.

Pada masa ini, bilangan katil bagi memenuhi keperluan pesakit Covid-19 sedia ada adalah sebanyak 5,292 iaitu 3,400 buah katil di hospital-hospital Covid-19 dan 1,892 buah katil di Institut Latihan KKM di seluruh negara.

Adham ketika meninjau dewan di MAEPS telah diubah suai untuk dijadikan sebagai pusat rawatan dan kuarantin pesakit wabak Covid-19. -Foto KKM
Adham ketika meninjau dewan di MAEPS telah diubah suai untuk dijadikan sebagai pusat rawatan dan kuarantin pesakit wabak Covid-19. -Foto KKM

Semalam, penularan beberapa gambar pemasangan khemah di MAEPS yang tular di laman sosial mengejutkan rakyat negara ini susulan kawasan itu dikatakan bakal dijadikan pusat kuarantin alternatif pesakit Covid-19 di Lembah Klang.

Terdapat juga dakwaan kawasan MAEPS itu juga bakal dijadikan pusat kuarantin berpusat bagi pesakit Covid-19 di seluruh kawasan Lembah Klang.

Hari ini, KKM menjangkakan akan berlaku pertambahan mendadak bagi kes wabak Covid-19 pada pertengahan bulan depan.